Presiden Amanah Mohamad Sabu menyeru pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Selangor supaya tidak berkelahi isu pengagihan kerusi pilihan raya secara di media.
Beliau berkata perbincangan rundingan kerusi seharusnya dibuat secara dalaman bagi mencari jalan penyelesaian terbaik, dan meminta semua pihak mengelak dari mengeluarkan kenyataan secara terbuka sama ada kepada media mahupun di media sosial.
“Saya mengharapkan perbincangan di antara parti-parti dalam PH dibuat secara musyawarah dan tertutup.
“Saya yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk kita mencapai kejayaan dalam mendepani musuh bersama kita. Musuh sebenar kita adalah Umno/BN,” katanya dalam kenyataan media.
Perkelahian antara parti komponen PH tercetus selepas Amanah dan DAP negeri berkata mereka tidak tahu tentang mesyuarat pengagihan kerusi DUN di Selangor seperti yang didakwa oleh Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
Azmin sebelum ini mendakwa 4 mesyuarat sudah diadakan untuk menentukan 80% kerusi DUN di Selangor. Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata mereka hanya menghadiri 4 mesyuarat jawatankuasa pilihan raya sahaja, yang membincangkan strategi untuk PRU14.
Reaksi Amanah dan DAP Selangor itu bagaimanapun menyaksikan serangan bertalu-talu daripada beberapa pemimpin PKR negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin “mengesahkan” mesyuarat membincangkan pengagihan kerusi DUN di Selangor sudah diadakan. – FMT