Status Bersatu dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih lagi dalam siasatan, lapor Berita Harian.
Laporan itu memetik pengarah RoS Surayati Ibrahim sebagai berkata, antara isu yang masih belum diselesaikan adalah dakwaan mesyuarat tahunan parti pembangkang itu tidak sah dan melanggar perlembagaan parti.
Perkara itu membabitkan sayap Pemuda Bersatu Armada yang juga masih belum diselesaikan, tambahnya.
“Kami telah mengambil kenyataan setiausaha Bersatu Dr Shahruddin Md Salleh dan ketua Pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Kami masih dalam membuat keputusan sama ada untuk memanggil pimpian tertinggi parti,” Surayati dipetik sebagai berkata.
Katanya RoS memerlukan lebih masa untuk melihat status perundangan Bersatu kerana isu ini.
Bersatu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya pada 30 Disember untuk memenuhi syarat RoS, manakala Armada berdepan isu namanya.
Terdahulu, RoS hari ini berkata DAP memenuhi semua syarat yang diperlukan berhubung pemilihan semula kepimpinannya tahun lalu.
Surayati berkata, isu Bersatu lebih kompleks berbanding DAP.
Bersatu dan DAP dikatakan menjadi penghalang utama pendaftaran Pakatan Harapan dengan RoS sebagai pakatan yang sah. PH menghantar permohonan pendaftaran pada 24 Julai tahun lalu.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, mendakwa RoS hanya memberi kelebihan kepada BN dengan penangguhan itu. – TMI