Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor mengintai peluang untuk bertanding di kesemua 12 kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kata pengerusinya Datuk Abdul Rashid Asari.
“Kita menumpukan pada kerusi (yang disandang) Umno… (termasuk) Batang Kali, Kuang, Tanjung Sepat,” katanya kepada wartawan apabila ditemui selepas majlis sambutan Ponggal di Klang hari ini.
Perebutan itu akan melibatkan kesemua 27 kerusi yang dimenangi Umno dan PAS dalam PRU lalu.
“Kita minta 12 kerusi dan beberapa kerusi lain yang mungkin kita boleh rundingkan dengan AMANAH,” katanya apabila diminta mengulas berkenaan laporan perselisihan antara PKR dan AMANAH di Selangor yang dipercayai berkaitan pengagihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN).
Azmin pada Jumaat lalu menyifatkan AMANAH “berbohong” kerana mendakwa rundingan kerusi Selangor belum dibuat, yang kemudian ditanggapi Pengerusi AMANAH Selangor Mohd Izham Hashim yang menyifatkan Azmin sebagai “pelawak” yang tidak sesuai menjadi pemimpin HARAPAN Selangor.
Tanggapan “pelawak” yang dibuat Izham itu menyebabkan beberapa pemimpin PKR Selangor yang mempetahankan Azmin berang dan menyifatkan Izham sebagai biadab.
Izham, bagaimanapun, menjelaskan bahawa kenyataannya telah disalah fahami.
Azmin yang juga merupakan timbalan presiden PKR, sebelum ini menegaskan sebuah jawatankuasa telah bermesyuarat sebanyak empat kali bagi membincangkan pengagihan kerusi dan 80 peratus kerusi itu sudah diputuskan,
Turut hadir pada majlis itu hari ini adalah Naib Presiden PKR Xavier Jeyakumar yang turut mengulangi kenyataan Azmin berkenaan empat mesyuarat berkenaan.
Berhubung kerusi yang diintai PKR, Xavier mengesahkan PKR menuntut agar kesemua 21 kerusi yang parti itu tandingi pada PRU ke-13 dikekalkan.
Xavier turut mendedahkan terdapat lima kerusi yang PKR pernah tewas dan kini sedang dirundingkan dengan parti komponen lain.
“Ada parti lain yang kata mereka juga mahukan lima kerusi itu.
“Namun PKR bertegas bahawa kami adalah kerajaan di negeri ini dan menteri besar dari parti kami jadi kami menjangkakan untuk memimpin di Selangor,” katanya.
Pada PRU ke-13, PAS Selangir bertanding dan menang 15 daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai sebahagian daripada perjanjian Pakatan Rakyat ketika itu.
Difahamkan, HARAPAN dalam proses rundingan telah bersetuju agar kesemua kerusi yang dimenangi parti komponen tidak dituntut oleh parti lain. – Mkini