Pelbagai pihak mula meramal tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan diadakan sama ada pada bulan Mac atau April 2018.
Bagi ADUN Teja, Chang Lih Kang, prestasi Pakatan Harapan (PH) pasti akan sangat baik sekiranya PRU diadakan pada atau selepas bulan April.
Katanya, PH ketika itu telah pun melengkapkan kempen jelajah seluruh negara dan di peringkat negeri Perak, jentera negeri atas nama PH pula telah disusun secara rapi.
Isu-isu utama seperti peningkatan kos hidup pula, menurut Lih Kang, akan bertambah berat tekanan ke atas BN menjelang pertengahan tahun ini.
“Kerajaan tidak boleh menafikan harga barang keperluan sudah naik tinggi dan akan meningkat lagi. Sehingga hari ini, kerajaan gagal menjawab mengapa subsidi perlu dipotong atau dikurangkan. Ini menunjukkan kerajaan tidak berjaya sama sekali mengatasi masalah kos sara hidup (seperti dijanjikan).
“Kerajaan hanya sibuk menguar-uarkan negara memerlukan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tetapi kenyataan itu bagi rakyat hanya menunjukkan kegagalan kerajaan mentadbir ekonomi dengan baik
“Rakyat kata, kalau negara ‘amat perlukan dan bergantung kepada GST’ maka pentadbiran tentu akan ‘lumpuh’ tanpa cukai itu,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Sehubungan itu, menurut Lih Kang lagi, kerajaan BN tidak akan menangguhkan lebih lama tarikh PRU. Begitu juga ramalan golongan perniagaan bahawa tarikhnya tidak akan melebihi April 2018.
“Rakyat umum dan golongan usahawan menjangka PRU14 akan diadakan pada bulan April. Bursa Saham kini tinggi dan nilai Ringgit bertambah kuat.
“Ini bererti momentum yang akan mendorong PM Najib membubar Parlimen dalam masa terdekat,” katanya.
Lih Kang amat yakin prestasi PH di Perak dan seluruh negara dalam PRU 14 akan lebih baik daripada sebelumnya. PH akan mampu menawan beberapa negeri baharu dan tidak mustahil membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.
“Oleh itu, berdepan dengan faktor GST yang hanya dilaksanakan selepas PRU13, saya amat yakin kali ini rakyat sudah bijak dan akan memberi sokongan kepada Pakatan dalam PRU14,” katanya lagi.