Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata penarikan semula darjah dan bintang kebesaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran itu tidak bernilai lagi di mata rakyat.
Ini kerana, menurutnya, perkara itu terjadi ketika pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut.
“Syabas Tun Dr Mahathir Mohamad, Husam Musa dan Wan Abd Rahim Wan Abdullah kerana berjiwa besar. Setiap manusia lahir hanya dengan gelaran sebagai hamba Allah dan tiada apa yang perlu dibangga dengan setiap gelaran.
“Penarikan balik darjah dan bintang kebesaran ini menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran sudah tidak bernilai di mata rakyat apabila pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat dilihat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut,” katanya.
Mahfuz berkata demikian selepas pihak istana Kelantan menarik semula darjah dan bintang kebesaran Pengerusi HARAPAN, Dr Mahathir, Husam, dan Abdul Rahim.
Menurut Mahfuz lagi, gelaran dan pangkat yang dipegang oleh pemimpin yang terlibat dalam kleptokrasi akan memberi persepsi yang tidak baik kepada rakyat.
Justeru, menurut Mahfuz, Majlis Raja-Raja Melayu perlu menangani perkara itu.
“Sewajarnya Majlis Raja-Raja Melayu perlu memadamkan pesepsi ini agar rakyat tidak menyalahkan Raja-Raja Melayu atas kerosakan negara akibat dari kerajaan dan tangan pemimpin klaptokrat Umno-BN.
“Apa yang semua rakyat mahukan adalah institusi Raja-Raja Melayu dipertahan dan dihormati,” katanya. – Mkini