Kenyataan Majlis Profesor Negara yang dikemukakan kepada umum pada 9 September lalu mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British menambahkan lagi kemelut pencarian wira kemerdekaan.
Sebelum ini semua penentang British termasuk puak komunis dan pejuang sayap kiri cuba diangkat sebagai wira setaraf Tunku Abdul Rahman dan Onn Jaafar. Percubaan itu dibantah keras oleh Umno-BN kerana mengurangkan kedudukan tokoh agung mereka.
Dengan pengesahan dari majlis profesor itu implikasi yang lebih buruk berlaku ke atas wira sejarah. Tokoh-tokoh kiri yang telah dihafal nama mereka dalam buku teks sejarah sebagai penentang penjajah seperti Ishak Hj Muhammad, Dr Burhanudin al Helmy, Ibrahim Yaakob, Shamsiah Fakeh dan lain-lain kelak akan dianggap pengkhianat kerana British masuk ke Tanah Melayu sebagai penasihat sebagaimana dinyatakan dalam perjanjian Pangkor 1874. Mereka ini menentang pemerintahan bersama British dan Raja-Raja Melayu, bukannya pemerintahan penjajahan. Jika begitu keadaannya, Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dato’ Bahaman dan ramai lagi pejuang akan dianggap pengkhianat.
Sultan tidak bantah
Pembesar Melayu membunuh Residen Inggeris JWW Birch di Perak (1874) kerana British merampas hak memungut cukai dari mereka. Pemberontakan Abdul Rahman Limbong di Terengganu (1928) juga berlaku apabila British mengenakan kadar cukai yang tinggi. Boleh diterima kerjasama British dan sultan dalam pungutan cukai. Namun kesemua pemberontak ini kemudiannya dihukum mati menggunakan undang-undang British.
Pribumi Tanah Melayu tidak boleh dihukum menggunakan undang-undang British kerana taraf British cuma penasihat. Namun sejarah membuktikan kesemua penentang berkenaan dihukum mati oleh British tanpa bantahan dari sultan. Kedudukan sultan sebagai Ketua Negeri yang tidak membantah rakyatnya dihukum melalui undang-undang British mensahihkan bahawa Tanah Melayu telah hilang kedaulatannya.
Perbandingan yang lebih mudah boleh dibuat ke atas serangan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003. Serangan ini dilakukan dengan mandat, Resolusi 1441 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan tindakan tegas terhadap negara yang gagal memusnahkan senjata merbahaya yang mengancam dunia. Namun seluruh dunia sedar Amerika Syarikat (A.S) sengaja mencipta alasan menyerang Iraq untuk merampas simpanan minyak negara itu. Sepanjang 2003 – 2004 seorang warga A.S, Lewis Paul Bremer III dilantik sebagai pemerintah tertinggi di sana.
Secara teknikal Bramer ialah pemerintah kerajaan sementara yang dibenarkan PBB di Iraq, bukan penjajah. Bagaimanapun, hanya manusia yang benar-benar bodoh sahaja akan mengangguk apabila disebut A.S tidak menjajah Iraq sepanjang tempoh 2003 – 2004 itu.