Terdapat spekulasi yang kian menyebar bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bagi diadakan pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Teori parlimen bubar hujung Februari agak diyakini memandangkan serangan media yang bertali arus menyasarkan beberapa karektor utama Pakatan Harapan (PH), berikutan BN semakin gelabah menghadapi arus kebangkitan pengundi Melayu luar bandar.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran serangan tanpa henti itu hanya ada satu tujuan, iaitu memusnahkan imej pemimpin PH di mata rakyat dalam tempoh segera sebelum PRU dilaksanakan.
“Sudah ada tanda bahawa tarikh PRU14 semakin dekat apabila ‘serangan kuat’ dibuat terhadap ahli-ahli parlimen PH.
“Pihak musuh kini bertungkus-lumus melemahkan PH. Mereka mengalihkan tumpuan pemimpin PH dengan ‘serangan’ terhadap pentadbiran mereka (urustadbir negeri),” ujarnya kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, menurut Manogaran, serangan tersebut tidak akan berhasil kerana momentum di peringkat akar umbi menampakkan rakyat semakin “bosan dan letih” dengan BN
Katanya, retorik bahawa DAP anti-Melayu juga tidak lagi dipercayai dalam kalangan Melayu luar bandar yang menjadi deposit tetap BN. Sebaliknya, dakwa Manogaran, pengundi luar bandar kini agak bijak mengaitkan kenaikan harga barang dengan kelemahan BN menguruskan kewangan negara serta beberapa skandal di sekeliling PM Najib.
“Semua ini menunjukkan Kerajaan BN patut direhatkan dalam PRU14 nanti. Di mana-mana saya berceramah saya menyeru rakyat supaya ‘rehatkan BN’ dan semua para hadirin tidak kira bangsa dan agama bersetuju dengan saya.
“Saya yakin pengundi Cina dan India sudah membuat keputusan muktamad untuk menyokong PH dan yang tinggal pengundi Melayu di kawasan kampung sahaja yang belum lagi membuat keputusan.
“Walau bagaimanapun, saya pikir dalam satu atau dua bulan ini, mereka akan berpihak kepada PH disebabkan oleh harga barang yang gagal diuruskan dengan baik oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan PM Najib Razak,” katanya lagi.
Beliau menegaskan PRU14 ialah peluang terakhir untuk menumbangkan BN atau negara akan berdepan dengan masalah kewangan meruncing yang membawa kepada krisis ekonomi.
Bekrcamuknya undang-undang, sebagaimana berlaku dalam kes Rafizi, menurut Manogaran menyebabkan masyarakat antarabangsa kurang kepercayaan kepada sistem perundangan negara dan mereka enggan menanam modal.
“Kes Rafizi Ramli patut membuka mata masyarakat Melayu. Saya harap ‘tsunami Melayu’ akan berlaku kali ini.
“Pada tahun 2008, orang India beramai-ramai menolak BN, pada tahun 2013 orang Cina pula yang menolak BN dan kali ini ialah giliran orang Melayu
“Sekaligus rakyat Malaysia boleh membuka lembaran baru pada tahun 2020. Ayuh! Jom ke alaf baru,” gesa Manogaran.