Pakatan Harapan (PH) merupakan harapan baru kepada seluruh rakyat dalam negara ini untuk membawa perubahan dalam kepimpinan negara.
Sehubungan itu rakyat perlu menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin bagi memastikan perubahan menjadi realiti menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa ketika berucap pada majlis Makan Malam AMANAH Negeri Pulau Pinang kelmarin.
Menurut beliau lagi, PH memerlukan teman dan rakan untuk terus membina pakatan dengan sebuah harapan yang baru.
“Bagi merealisasikan impian ini, jaminan diberikan kepada semua bahawa pembahagian kerusi-kerusi dalam PRU yang akan datang tidak menjadi masalah.
“Hanya masa dan waktu perlu diberikan untuk mencapai kesepakatan yang sedia terjalin.
“Yakinlah bahawa tidak ada perbalahan sehingga melupakan agenda yang besar dan utama ialah untuk menukar kerajaan sedia ada, ” jelas beliau lagi.
Malah ujarnya, semua ahli AMANAH menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pimpinan PH bagi memastikan hasrat untuk menumbangkan Umno dan BN menjadi kenyataan.
“Sekiranya AMANAH menjadi calon, PKR, DAP dan Bersatu akan menyokong untuk kemenangan PH.
“Seandainya PKR bertanding, maka AMANAH, Bersatu dan DAP akan pastikan Umno dan BN tumbang.
“Jika Bersatu maupun DAP menjadi calon, maka AMANAH dan PKR akan tetap bersama-sama untuk memastikan kemenangan calon PH, ” tegasnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar turut berkata, tidak harus ada pelbagai telahan bagi merosakkan usaha mencapai kemenangan dalam PRU yang akan datang.
Yang pasti katanya, usaha mesti digembeling, bersatu hati, tekad dan azam untuk memastikan Umno dan BN tetap dikalahkan menjelang PRU ke 14 nanti.
Mujahid juga berkata, hampir RM80 ribu berjaya diperolehi sempena kutipan dana pada malam tersebut.
“Dengan kutipan dana yang ada ia dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti parti AMANAH Pulau Pinang.
“AMANAH mempunyai jiwa yang besar untuk bersama-sama dengan PH untuk membela nasib rakyat.
“Justeru itu katanya, pelbagai usaha sedang dan akan dilaksanakan dengan sokongan komponen dalam PH untuk memastikan tampuk kekuasaan dapat bertukar tangan kepada PH dengan kesedaran harus diberikan kepada rakyat, ” tambahnya lagi.
Maka itu ujarnya, rakyat mesti bangkit bersama-sama dengan PH untuk menolak pelbagai kebanjingan dan korup yang menjadi amalan kerajaan Umno dan BN. – MD