Sekiranya Tanah Melayu tidak dijajah oleh British, timbul persoalan utama mengenai pejuang yang telah dibunuh British. Kononnya, British bertindak bagi pihak Sultan dan parti Melayu yang bersekongkol dengan mereka. Apakah sebenarnya berlaku, adakah ahli politik Melayu menggunakan British untuk menghapuskan musuh-musuh mereka?
Hal itu bagaimanapun tidak terjawab sehingga hari ini. Malah forum Wacana Merdeka yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) semalam juga gagal menjelaskan tajuk asal perbincangan mengenai ‘Balai Polis Bukit Kepong: Siapa wira sebenar’.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ahmad Nuri Al-Amin menyifatkan pentas wacana tersebut telah menjadi medan mencetuskan polimik baru yang menyanggah fakta besar yang telah diterimapakai selama 54 tahun dengan menafikan sejarah Kemerdekaan Negara.
“Penafian terhadap Kemerdekaan Negara pada tahun 1957 itu lahir dari fakta yang disebut berulang kali oleh para panelis wacana bahawa Tanah Melayu langsung tidak pernah dijajah oleh British
“Malah bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar juga mengambarkan bahawa penubuhan Umno pada tahun 1946 bukan untuk mendapatkan Kemerdekaan Negara tetapi hanya untuk memastikan bahawa Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan dahulu.
“Manakala penekanan Tun Hanif berkaitan tragedi Bukit Kepong hanya mengisyithar bahawa kematian Pasukan Polis sebagai wira walaupun tidak menafikan Pasukan Polis ketika itu di bawah pemerintahan British,” katanya.
Sebaliknya, menurut beliau, nama Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu sering menjadi kecaman biarpun Mat Sabu tidak menyatakan komunis adalah wira dalam peristiwa Bukit Kepong.
“Sepatutnya Mat Sabu turut dijemput pihak IDR bagi menjelaskan isu berkaitan Ahmad Indera @ Mat Indera. Jika ianya diadili sebaiknya, wacana tersebut perlu dihadiri juga oleh Haji Mohamad untuk memperkatakan perkara tersebut.
“Sesungguhnya hasil wacana semalam telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dari menjelaskan keadaan. Bagaimana status pejuang-pejuang Melayu Perak seperti Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam yang dihukum buang negeri dan pejuang-pejuang Melayu lain yang terbunuh ketika dikatakan menentang British. Jika Tanah Melayu tidak dijajah, siapakah yang mereka tentang dan siapakah pula yang menghukum dan membunuh mereka. Adakah ini angkara Melayu gunakan British untuk menentang dan membunuh sesama Melayu?” soalnya.