Barisan Nasional (BN) dalam keadaan goyang di Johor dengan sejumlah data daripada sebuah kaji selidik terbaru oleh Merdeka Center menunjukkan ada yang tidak kena dengan parti pemerintah itu di kubu kuatnya sendiri.
Malah pemimpin akar umbi Umno sendiri pun bimbang dengan keadaan pengundi di negeri itu yang terlalu memberi perhatian kepada soal kos sara hidup sehingga terlepas pandang kepada pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak kerana menguruskan ekonomi dengan baik.
Seorang ahli Umno di peringkat bahagian berkata: “Najib dah buat elok tetapi ahli-ahli lebih risaukan kos sara hidup dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
“Mereka lebih memberi tumpuan pada keperluan harian, berbanding membantu jentera parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menambah sesetengah ahli juga tidak gembira dengan kerajaan persekutuan atas kesukaran hidup yang mereka hadapi.
Kebimbangannya itu bukan tidak bertempat.
Kaji selidik Merdeka Center pada Januari menunjukkan dapatan yang yang tidak memihak kepada BN.
Lebih kurang 57% responden merasakan negara ini sedang dipandu di landasan yang salah, berbanding 36% yang merasakan negara ini berada di landasan yang betul.
Daripada 1,007 responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu, 55% berkata mereka tidak puas hati dengan kerajaan persekutuan sementara hanya 39% gembira dengan pentadbiran Najib.
Keputusan kaji selidik itu membayangkan BN berdepan cabaran di negeri selatan tempat lahirnya Umno, yang menyumbang 21 kerusi Parlimen kepada parti pemerintah itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.
“Kemerosotan yang paling ketara dapat dilihat dalam kalangan pengundi Melayu,” kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Sokongan responden Melayu kepada BN merosot daripada 65% kepada 58% pada Januari 2018.
Ini satu perubahan yang ketara berbanding semasa PRU3 lima tahun lepas ketika BN mendapat lebih kurang 83% undi popular daripada pengundi Melayu di Johor.
Dalam kaji selidik itu, 21% daripada 55% responden yang tidak puas hati dengan kerajaan persekutuan, meletakkan kos sara hidup sebagai alasan utama kemarahan mereka.
Ini diikuti oleh pengurusan dan pentabdiran yang lemah (14%), rasuah (11%), pengurusan ekonomi lemah (7%), mengabaikan kebajikan rakyat (5%) dan ketidakadilan (4%).
Kaji selidik itu melibatkan 55% responden Melayu, 38% Cina dan 7% India yang berumur tidak kurang 21 tahun. Hampir separuh atau 48% daripada mereka berumur antara 21 hingga 50 tahun.
Majoriti atau 66% mempunyai pendapatan tidak lebih RM4,000 sementara mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan membentuk kumpulan paling besar responden iaitu 36%.
Lebih kurang 63% tinggal di kawasan bandar manakala 61% berkata mereka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Responden Cina menunjukkan tahap tidak puas hati paling tinggi terhadap kerajaan persekutuan iaitu pada 72%, manakala Melayu dan India hampir sama rata.
Lebih 49% Melayu berpuas hati sementara 45% tidak, manakala 50% India berpuas hati dan 44% sebaliknya tidak berpuas hati.
Responden Melayu dan India berpuas hati dengan kepimpinan Najib. Lebih kurang 56% responden India merasakan Najib melakukan tugas yang baik sementara 44% tidak berfikir begitu.
Lebih kurang 51% responden Melayu berpuas hati dengan Najib manakala 42% tidak. – TMI