Tempoh 3 bulan sebelum parlimen terbubar secara automatik dalam bulan Jun ini adalah sangat kritikal kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengarah Pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Hatta Ramli, PH telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke (PRU) 14 sejak awal 2018. Malah katanya, gerak kerja PH telah pun berada pada tahap gear 3.
Beliau berkata strategi BN mengumpan pengundi di Langkawi dengan peruntukan RM1 bilion adalah petanda kritikal bahawa PRU 14 sudah amat hampir.
“Peruntukan itu menunjukkan BN mengorak langkah menyerang PH menuju PRU 14 dengan menjanjikan bermacam-macam projek pembangunan.
“Walaupun rakan-rakan koalisi dalam Pakatan masih merundingkan isu pembahagiaan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri, kami akan bergerak dari gear 3 ke gear 5 kalau Parlimen dibubarkan bulan ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata, partinya sedang memantau situasi di setiap negeri.
Katanya, masyarakat Melayu yang menjadi tumpuan UMNO-BN telah menyatakan hasrat mereka untuk memberi peluang kepada PH memerintah di Putrajaya memandangkan kemajuan dan kebajikan yang di bawah koalisi itu di Selangor dan Pulau Pinang.
“Cuma pengundi di kawasan kampung yang belum membuat keputusan muktamad sama ada hendak menyokong BN ataupun PH. Justeru itu, saya percaya PM Najib akan bubar Parlimen bulan ini ketika masih ada pengundi Melayu yang belum membuat keputusan kerana pengundi seperti ini biasanya akan menyokong Umno pada hari mengundi.
“Selain dari itu, PM Najib pasti tahu kenyataan ‘DAP anti-Islam dan anti-Melayu’ semakin tidak dipercayai oleh masyarakat Melayu walaupun pasti ada penyokong Umno tegar yang mempercayai kenyataan tersebut. Tetapi golongan itu sudah tidak ramai.
“Pengundi Melayu semakin bijak sekarang. Oleh itu, PM Najib tidak akan memberi masa kepada PH untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada pengundi di kawasan pendalaman terutamanya kepada Orang Asal yang ramai tinggal di pendalaman negeri Pahang, misalnya,”tambah Dr Hatta .
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama yang dihadapi PH adalah mind set Melayu luar bandar bahawa kekalahan Umno akan menyebabkan masa depan golongan itu tidak menentu. Selain itu, mentaliti subsidi juga masih menebal dalam kalangan generasi lama.
“Apa yang penting untuk PH ialah menyeru pengundi Melayu untuk menyokong kami. Di sini cabaran kita ialah Umno selalu menegaskan kepada pengundi Melayu kalau Umno kalah, hak Melayu akan dikikis.
“Pemimpin PH sedang bertungkus-lumus menangkis tohmahan palsu ini dan ini memang memakan masa. Justeru itu, pihak lawan tentu tidak mahu memberi masa kepada kita. Namun begitu, saya agak optimis bahawa pada hari ini pun, sokongan dari masyarakat Melayu sudah sampai kepada paras 50%,” katanya.