Perebutan undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka sengit dan akan dimenangi oleh parti yang mempunyai gerak kerja terkuat di akar umbi, kata Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Beliau berkata berdasarkan landskap politik semasa, ada empat parti yang akan bertarung untuk undi Melayu iaitu Umno, PAS, Amanah dan Bersatu namun hanya Umno dan PAS mempunyai akar umbi yang kukuh.
“…sehebat manapun seseorang pemimpin itu tetapi tanpa grassroot atau akar umbi yang boleh bergerak sukar untuk mereka mendapatkan sokongan.
“Ini kerana mereka di peringkat akar umbilah yang akan menjalankan kerja-kerja berkempen dan berada dekat dengan pengundi dan ini memainkan peranan penting dalam menentukan undi yang akan diperoleh,” katanya dalam satu sesi pada “Perbincangan Meja Bulat Pra PRU14: BN Kekal Atau…??” di Kuala Lumpur semalam.
Sesi yang bertajuk “BN vs PH vs PAS: Siapa Untung, Siapa Penentu” dikendalikan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia Zaini Hassan turut menampilkan Ketua Penerangan PPBM Kamarudin Md Nor dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki selaku ahli panel.
Mengulas isu itu, Kamarudin berkata kepesatan teknologi maklumat dan media baharu menjadikan persaingan merebut undi Melayu agak rumit memandangkan rakyat, baik di kawasan bandar mahupun luar bandar, berpeluang menerima maklumat yang sama dalam tempoh singkat.
Ini katanya membantu pengundi bandar dan luar bandar membentuk pemikiran yang mungkin serupa.
“Cuma isunya sekarang ialah sama ada Melayu bersedia untuk berubah kerana kebanyakan kajian oleh penganalisis mendakwa masyarakat Melayu terutama luar bandar tidak bersedia mengambil risiko itu,” katanya.
Sementara itu Zuhdi pula berpandangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah undi Melayu pada PRU14, sekali gus membentuk “tsunami Melayu”.
Katanya pandangan itu bersandarkan senario pada 2013 apabila NGO Cina menjadi penentu undi kaum tersebut.
Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan MPN bertujuan mengupas isu-isu nasional dan tempatan menjelang PRU14 serta melihat pola pengundian dan menilai peluang BN, Pakatan Harapan dan PAS pada pilihan raya tersebut. – TMI