Jalan masih panjang untuk Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan tetapi sudah ada gangguan dalam Umno di kawasan Felda di Johor.
Walaupun sokongan untuk pembangkang wujud di kawasan tanah rancangan Felda sejak 1998 apabila timbalan perdana menteri pada masa itu, Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan, penyokongnya memilih untuk tidak menonjolkan diri.
Tetapi kini tidak lagi apabila otai Reformasi Mohd Noh A Karim, 60, berjaya menganjurkan program umum pertamanya untuk seorang lagi timbalan perdana menteri yang disingkirkan, Muhyiddin Yassin di Felda Belitong semalam.
“Ketika saya cuba mengadakan program di sini pada Disember 2012 untuk Nurul Izzah Anwar (ahli Parlimen Lembah Pantai), kami dihalang oleh orang Umno di sini,” kata peneroka Felda generasi pertama itu.
“Mereka sekat jalan utama ke rumah saya dan ugut hentikan kami, menyebabkan polis suruh kami batalkan program itu,” katanya yang menguruskan sendiri 10 ekar tanah kelapa sawitnya.
Noh, yang menghiasi laman rumahnya dengan bendera PH, berkata itu petanda yang baik walaupun hanya sedikit saja peneroka Felda yang datang ke acara berkenaan.
“Walaupun sikit saja peneroka yang datang, saya fikir ini petanda baik untuk Pakatan,” katanya ketika Muhyiddin menjawab soalan daripada kira-kira 70 orang yang hadir semalam.
Felda selama ini dikenali sebagai bank undi untuk Barisan Nasional (BN) terutama Umno. Selepas Pilihan Raya Umum ke-13, kajian Universiti Sains Malaysia menunjukkan bahawa Felda merangkumi 54 kerusi luar bandar dan pinggir bandar dan dianggarkan mempunyai 1.2 juta pengundi.
Menurut kajian itu, 179 daripada 222 kerusi Parlimen boleh diklasifikasikan sebagai kerusi luar bandar dan pinggir bandar.
Daripada jumlah itu, BN menang 128 daripada 133 kerusi luar bandar dan pinggir bandar, menjadikan 96% ia bergantung kepada mereka.
Laporan ISEAS-Yusof Ishak Institute bulan ini turut menyatakan 26 daripada 37 kerusi BN di Johor sebahagian besarnya kerusi di luar bandar dan majoriti Melayu. Lebih ekstrem, ia menang Sedili dan Penawar dengan lebih 85% daripada undi itu.
Tetapi satu kaji selidik dijalankan oleh Merdeka Centre for Opinion Research bulan lalu bagaimanapun menunjukkan BN dalam keadaan bahaya di Johor kerana sebahagian rakyatnya yang ditemu bual berkata mereka terbuka untuk mengubah kerajaan negeri.
Lebih membimbangkan untuk BN ialah 48% daripada mereka yang terbuka kepada perubahan dalam kerajaan ialah pengundi kawasan luar bandar.
Sejurus selepas Muhyiddin menghadiri acara di Felda Belitong, beliau kemudian ke Felda Kahang di mana beliau diraikan oleh bekas ahli PAS, Bohari Gani.
Bohari, 70, yang menyertai PAS pada 1999 berkata, ini juga kali pertama beliau menganjurkan acara pembangkang di rumahnya.
“Saya sudah putus harapan dengan PAS,” kata peneroka itu.
Walaupun ia program ringkas, di mana Muhyiddin bercakap tentang penyingkirannya dan pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri PH, acara itu dapat menarik lebih ramai peneroka Felda.
Di seberang jalan, Sobandi Yusof tekun mendengar ceramah Muhyiddin, bersama anaknya, Azahari sementara isterinya Norma berada di rumah Bohari.
“Saya memang selama ini penyokong pembangkang,” kata Sobandi yang berpindah ke Felda Kajang pada 1979 dari Gelang Patah.
“Tetapi saya tidak begitu pasti dengan Dr Mahathir kerana dia kedekut dengan peneroka Felda dan orang kampung,” kata Sobandi yang mempunyai 10 anak.
Anak lelakinya, Azahari, 47, berkata bagus juga mendengar ceramah kedua-dua belah pihak walaupun beliau ahli jawatankuasa Umno di situ.
“Pembangkang penting dalam mana-mana sistem dan okay untuk mendengar mereka. Tetapi bagi saya, saya akan sokong kerajaan pemerintah kerana keadaan baik sekarang,” katanya yang juga bekas ketua Pemuda Umno bahagian.
Azahari, yang memperoleh RM1,500 sebulan berkata beliau tidak terkesan dengan ekonomi atau kos sara hidup tinggi.
“Kami ada segala-galanya yang diperlukan di Felda dan ekonomi maish bagus,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Ibunya, Norma, 58, bagaimanapun tidak bersetuju dan berkata ibu saudaranya yang tinggal di Felda Belitong masih tidak dapat geran tanah walaupun meneroka di Felda selama 30 tahun.
“Harga barang makin mahal.
“Tidak ada salahnya dengan menukar kerajaan. Jika Pakatan tidak bagus, kita boleh tukar lagi,” katanya.
Felda Belitong dan Felda Kahang berada dalam kawasan Parlimen Sembrong dan dua kerusi DUN – Kahang dan Paloh.
Sembrong pada masa ini dipegang Menteri Pertahanan dan Tugas-tugas Khas Hishammuddin Hussein sementara Kahang oleh Vidyanathan Ramanadhan (MIC) dan Teoh Yap Kun (MCA) di Paloh.
Bagi PRU14, Sembrong akan ditandingi oleh PKR sementara Paloh diperuntukkan kepada DAP dan Bersatu di Kahang. – TMI