Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, pengundi Cina tidak akan sama sekali pulang ke pangkuan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Beliau berkata demikian mengulas ucapan Najib pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina di mana PM itu cuba memujuk agar masyarakat Cina tidak memberi undi kepada Pakatan Harapan yang disifatkannya tidak pernah diuji dan tidak pernah memegang kuasa di Putrajaya.
Ng menegaskan masyarakat Cina masih ingat kenyataan ahli politik BN ‘Apa lagi Cina mahu?’ sebaik sahaja keputusan PRU 13 diumumkan.
Selain itu, katanya, masyarakat Cina yang sebahagian besarnya berniaga amat terbeban sejak 4 tahun lalu apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan diperkenalkan dan jualan mereka terjejas teruk. Begitu juga masyarakat Cina yang makan gaji atau bertani.
Tambah Ng ucapan Najib itu seolah-olah membayangkan beliau semakin resah apabila mahu pengundi Cina menyokong BN kerana Najib mungkin berpendapat undi Melayu akan berubah pada PRU 14.
“PM Najib terpaksa menghadapi hakikat bahawa kos sara hidup yang tinggi telah menyerap ke luar bandar dan kampung. Oleh itu, beliau amat resah bahawa sokongan dari masyarakat Melayu bukan seperti dahulu kala.
“Ini bermakna beliau perlu mendapatkan sokongan masyarakat Cina terutamanya golongan usahawan Cina yang boleh mempengaruhi pekerja dan persatuan mereka untuk menyokong BN,” kata Ng kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, menurut Ng, Najib sudah terlambat kerana ‘mood’ rakyat dan ahli perniagaan Cina mahu memberi mandat kepada Pakatan Harapan mentadbir Malaysia untuk menguji sejauh mana kebolehan mereka.
“Gandingan pimpinan Tun Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim dulu pernah memegang kuasa di peringkat pusat.
” Ini bererti PH bukan tiada pengalaman langsung. Hujah PM Najib bahawa koalisi PH tidak pernah diuji dan tiada pengalaman memang akan diketawakan orang ramai,” akhiri Ng.