Pengerusi Pakatan Harapan yang Dr Mahathir Mohamad meminta penduduk di sekitar pekan Chini agar tidak terpengaruh dengan provokasi Umno yang mahu membuat kekecohan dan bersama menyambut lawatan beliau ke sana petang esok.
Dalam video pendek yang disiarkan parti Bersatu hari ini, Dr Mahathir yang juga pengerusi parti berkenaan turut menyindir perdana menteri yang juga ahli Parlimen Pekan, Najib Razak dan menyatakan beliau hanya ingin menyampaikan cerita mengenai pemimpin kawasan itu yang dikatakan pencuri oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
“Tak usahlah dok sokong seorang pemimpin yang dikenali seluruh dunia sebagai pencuri. Bukan saya kata, Dunia yang kata. DOJ kata.
“Itu saja mesej yang saya nak sampaikan kepada penduduk di Chini. Jangan takut, sambutlah saya esok, okay?” kata beliau.
Sebelum ini Dr Mahathir menyatakan Umno Pekan membuat ugutan apabila memberi amaran akan berlaku “sesuatu” sekiranya beliau tidak membatalkan lawatan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau dan barisan pemuda akan bersama dengan Dr Mahathir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pemuda akan iring Tun pada masa sama kita pastikan pergelutan tak berlaku. Itu bukan niat kita. Kita nak pastikan program berjalan lancar,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Syed turut menyindir Umno dan Najib bahawa Pakatan Harapan sekalipun tidak pernah membantah siri lawatan beliau ke beberapa tempat seperti Langkawi dan Pagoh yang dikatakan bakal ditandingi pemimpin utama Bersatu.
Beliau turut hairan mengapa Umno begitu takut dengan Dr Mahathir yang baru pertama kali mahu turun ke Pekan – kawasan Parlimen yang diwakili Najib yang dimenangi dengan majoriti lebih 35,613 semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
“Kenapa takut sangat dengan Tun Mahathir. Umnolah dulu kata dia nyanyuk tua. Kenapa nak takut orang nyanyuk dan tua jejakkan kaki di kubu paling kuat BN.
“Bila Najib sendiri pergi ke Pagoh, Muar dan Langkawi, kita tak pernah halang. Malah kita sambut,” kata beliau lagi. – TMI