Kebanyakan isi rumah dan syarikat di Malaysia hanya melihat sedikit saja pertumbuhan ekonomi bagi 2017, kata pakar ekonomi, walaupun kerajaan memainkan nombor cemerlang sebagai bukti bahawa negara ini dalam keadaan baik.
Kebanyakan yang menerima manfaat daripada pertumbuhan itu ialah golongan kaya yang menyaksikan pendapatan mereka meningkat, berbanding kelas pertengahan (M40) dan bekerja (B40), berdasarkan kepada trend dalam kaji selidik terkini.
Pada masa sama, syarikat multinasional gergasi, yang membentuk 2% daripada semua perniagaan di Malaysia, menjana keuntungan paling besar pada 2017, kata pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata “Malaysia yang satu lagi” yang diduduki oleh B40 terpaksa bergelut untuk membeli makanan lebih mahal dan membayar bil mereka sementara ekonomi terus berkembang sehingga 5.8% tahun lalu.
Naratif pentadbiran Najib Razak mengenai perkembangan besar ekonomi juga menyembunyikan kisah kekurangan seperti yang dirasakan kanak-kanak penghuni rumah pangsa kos rendah, kata Santiago.
Ekonomi Malaysia diramalkan mengalami pertumbuhan antara 5.5% dan 5.8% pada 2017, satu kadar di mana pentadbiran Najib dan sesetengah pakar ekonomi berkata melangkaui jangkaan.
“Mungkin pertumbuhan dalam KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) di Malaysia didorong oleh pertumbuhan dalam keuntungan (perniagaan),” kata Yusof dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UPM.
“Ini kerana perniagaan mengalami keuntungan positif bagi 2017.”
Walaupun perusahaan kecil dan sederhana (SME) membentuk 98% perniagaan keseluruhan dalam ekonomi negara, mereka hanya menyumbang kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan aktiviti ekonomi seperti diukur dalam KDNK.
Syarikat multinasional (MNCs) yang minoriti berbanding perniagaan tempatan, menyumbang dua pertiga kepada KDNK, kata Yusof.
“Secara purata, daripada jumlah nilai tambahan dijana oleh sektor itu, hanya kira-kira 35% hingga 38% dikaitkan dengan pendapatan buruh sementara selebihnya 62% hingga 65% ialah keuntugan.”
Ini bermakna bagi setiap RM1 hasil sektor itu, 35-38 sen untuk pekerja sementara 62-65 sen kepada pelabur dan keuntungan pemilik syarikat.
Kadar pertumbuhan tahun lalu melepasi banyak jangkaan dan pentadbiran Najib menganggapnya sebagai bukti bahawa ekonomi diuruskan dengan baik.
Angka terkini untuk 2017 menunjukkan pada suku terakhir, ekonomi berkembang sehingga 5.9% disokong oleh pertumbuhan dalam perkhidmatan (6.2%), pembuatan (5.4%) dan sektor pertanian (10.7%).
Perdana Menteri Najib Razak berkata kadar pertumbuhan itu petanda bahawa kekayaan negara dikongsi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Santiago mempertikaikan kenyataan itu, berkata data daripada Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 menunjukkan “Malaysia yang lain” menerima sedikit saja daripada pertumbuhan negara.
Puratanya, antara 2014 dan 2016, pendapatan keluarga B40 naik RM275 sementara gaji T20 naik hampir RM1,800, kata Santiago.
Lonjakan pendapatan untuk T20 hampir dua kali ganda daripada gaji minimum di Malaysia.
“Malah, peningkatan pendapatan bagi 20% tertinggi juga lebih daripada dua kali ganda peningkatan pendapatan untuk kelas pertengahan rakyat Malaysia,” kata Santiago.
“Penerima pertumbuhan itu hanya golongan kaya.”
Walaupun ini trend dalam kaji selidik 2016, ia dijangkakan tidak terlalu berubah dalam tempoh setahun, kata Yusof.
“Pertumbuhan dalam pendapatan buruh mengurangkan kesan terhadap kumpulan isi rumah kategori M40 dan B40.”
Walaupun pendapatan daripada isi rumah M40 dan B40 berkembang, ia tidak cukup untuk mengimbangi kenaikan harga makanan, perumahan dan petrol, kata Yusof.
“Harga produk ini sejak beberapa tahun terakhir menunjukkan peningkatan ketara. Untuk produk ini, kenaikan harga lebih daripada kenaikan gaji.”
Tahun lalu menyaksikan kadar inflasi tertinggi dengan purata kira-kira 4% di seluruh negara. Pada November, harga makanan di lima negeri naik pada kadar lebih tinggi berbanding purata negara.
Sebaliknya, pada 2017, gaji berkembang dengan purata 1.3%, kata Korn Ferry Hay Group (Korn Ferry), menurut beberapa laporan.
Satu lagi masalah ialah berlaku salah padanan antara kelayakan pekerja dan jenis kerja mereka, kata Yusof, dan itu menyebabkan pertumbuhan pendapatan mereka perlahan.
“Kami mendapati terdapat sejumlah besar pekerja dengan diploma dan ke atas tetapi bekerja dalam jawatan perkeranian. Ini menjelaskan mengapa kumpulan itu tidak dapat menerima faedah daripada pertumbuhan pendapatan.”
Dan walaupun kerajaan memperkenalkan gaji minimum dan bantuan tunai seperti skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), impaknya masih dipertikaikan.
“Tiada penguatkuasaan dijalankan untuk memastikan semua syarikat membayar gaji minimum.
“BR1M pula impaknya kecil dan tidak disesuaikan dengan saiz keluarga dan ia secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan harga.”
Santiago berkata semua pertumbuhan itu juga tidak membawa lebih banyak wang kepada negara untuk dibelanjakan bagi memenuhi perkhidmatan awam.
Sebagai contoh, Jabatan Kerja Raya Klang tidak menerima dana untuk 2018. Pada 2017, ia menerima RM3.5 juta, hanya 10% daripada yang dipohonnya RM35 juta.
“Jumlah itu jelas menunjukkan negara ini mengalami ketidaksamaan yang besar antara kaya dan ‘Malaysia yang lain’,” kata Santiago.
Sehubungan itu, Yusof berkata bagi KDNK, ia didakwa tidak dapat dikekalkan jika pertumbuhan tinggi dikaitkan dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Apa yang kita mahu ialah ‘kualiti’ pertumbuhan dan bukan ‘kuantiti’ pertumbuhan.” – TMI