Dua wakil rakyat pembangkang menyelar keengganan Peguam Negara Apandi Ali untuk bertindak dalam kes rampasan kapal layar mewah Equanimity oleh Indonesia yang didakwa dibeli menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Salah seorang daripada wakil rakyat itu juga sudah memfailkan usul untuk membincangkan isu itu pada persidangan Parlimen minggu depan.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh (DAP) mengatakan Apandi terkhilaf apabila mengatakan Malaysia tidak akan menuntut “sesuatu yang bukan miliknya” kerana kapal layar itu adalah antara aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB menurut siasatan yang sedang berlaku di seluruh dunia.
Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung (PKR) pula mengatakan, Apandi melakukan “keabaian tugas” dan sudah memfailkan usul tergempar bagi membolehkan perkara itu dibincangkan di Parlimen.
“Saya rasa peguam negara silap,” kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.
“Kesnya bukanlah sama ada kapal layar itu milik kerajaan Malaysia. Kerana jika itu kesnya, kita tak perlu bekukan aset peribadi sesiapa lagi dalam mana-mana kes kerana ia juga bukan milik kerajaan.
“Kes itu adalah untuk menentukan sama ada aset berkenaan terlibat atau berkaitan dengan fokus mana-mana siasatan sama ada di Malaysia atau mana-mana kawasan bidang kuasa lain dan sama ada rampasan itu akan membantu siasatan tersebut,” kata timbalan pengerusi DAP itu.
Apandi dilaporkan oleh Malaysiakini yang Putrajaya tidak akan menuntut Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low yang menjadi tumpuan skandal merompak berbilion dolar dana 1MDB untuk membeli pelbagai aset mewah. – TMI