Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan pada minggu ketiga bulan depan, kata sumber dalaman Barisan Nasional (BN) Melaka dipetik berkata kepada Straits Times hari ini.
Sumber berkenaan yang bekerja di bilik gerakan pilihan raya utama barisan pemerintah sejak dua PRU lalu, berkata persediaan sedang dijalankan untuk mengenal pasti kawasan putih, kelabu dan hitam.
Straits Times melaporkan BN juga akan mengadakan raptai untuk PRU14 pada bulan ini selepas mengadakan mesyuarat tertutup selama beberapa minggu lalu.
Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata ujian dijalankan sejak dua minggu lalu untuk memastikan keberkesanan keseluruhan sistem.
“Kita mahu memastikan semua sistem dalam keadaan sempurna. Kami menguji logistik, ejen pengundian dan semua komponen berkaitan.
“Kita perlu kenal pasti kelemahan dalam sistem itu dan baiki mereka sewajarnya,” katanya dipetik sebagai berkata.
Di Selangor, raptai akan diadakan pada 17 Mac, dan ia akan menguji kekuatan BN selain kemampuan jentera dan tenaga pilihan raya yang ada.
“Ia akan jadi latihan menjalankan prosedur operasi pada hari mengundi, selain menguji jentera pada hari mengundi,” kata Timbalan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Ketua Umno Bahagian Kapar Faizal Abdullah berkata BN akan mengadakan mesyuarat pada Khamis untuk membincangkan raptai itu, antara jam 9 pagi hingga 11 pagi.
Pegawai rasmi BN Sabah berkata raptai di negeri itu akan membabitkan semua 25 kawasan Parlimen.
“Setiap individu di setiap daerah mengundi diminta meneliti pengundi mereka dan melaporkan semula kepada ketua kawasan pilihan raya masing-masing.
“Semua maklumat akan dihantar ke kepimpinan negeri, dan kemudian ke ibu pejabat.”
Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata satu mesyuarat akan diadakan hari ini untuk memuktamadkan butiran raptai di negeri itu.
“Saya hanya boleh sahkan tarikh raptai dan perkara lain yang berkaitan selepas mesyuarat itu,” katanya dipetik sebagai berkata.
Seorang ketua bahagian Umno BN meminta pemimpin di peringkat bahagian untuk memilih tarikh, bermula semalam untuk mengadakan raptai sebelum hari simulasi mengundi yang sebenar pada 17 Mac.
Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed berkata raptai diadakan di kawasannya sebulan lalu.
“BN tidak pernah membuat persediaan seperti itu,” kata wakil rakyat Johor itu.
Di Melaka, BN akan mengadakan raptai pada 11 Mac, dengan sumber dalaman berkata ia akan bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi, dan akan diadakan serentak di enam kawasan Parlimen.
Laporan itu memetik Ketua Menteri Idris Haron sebagai berkata PRU14 akan diadakan “tidak lama lagi” dan Pengerusi MCA negeri Lim Ban Hong berkata jentera parti sudah pun bersedia berdepan dengan PRU14, bila-bila masa saja. – TMI