Pakatan Harapan (HARAPAN) mempunyai tempoh seminggu untuk membincangkan logo tunggal yang akan mereka gunakan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sepanjang tempoh itu pemimpin HARAPAN akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memilih logo yang akan digunakan bagi menghadapi BN tidak lama lagi.
Katanya keputusan memberi tempoh selama tujuh hari itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di bangunan parlimen hari ini.
“Kita telah putuskan seminggu untuk mesyuarat Majlis Presiden akan datang untuk menentukan simbol akan dipilih dan digunakan oleh HARAPAN,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang.
PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menghantar permohonan untuk mendaftarkan gabungan itu secara rasmi pada Julai 2017.
Bagaimanapun proses yang pada awalnya kelihatan mudah itu setakat ini tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir seperti yang diharapkan.
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum mendaftarkan HARAPAN ketika tarikh PRU ke-14 semakin hampir.
PRU itu mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini, namun banyak pihak menjangkakan parlimen akan dibubarkan lebih awal. Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi lain, tarikh PRU di negara ini biasanya dirahsiakan perdana menteri sehingga ke saat-saat akhir.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata cuma ada tiga negeri belum menyelesaikan pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN).
Beliau berkata HARAPAN telah memutuskan untuk memberi masa seminggu lagi supaya kemelut berkenaan dapat diselesaikan. – Mkini