Arah mana undi Melayu akan beralih masih belum pasti walaupun kaji selidik menunjukkan pengundi luar bandar masih ragu-ragu memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis politik yang kini menjadi ahli politik, Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful, yang berhenti dari badan pemikir Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (Ideas) untuk menyertai Bersatu, berkata tinjauan pendapat termasuk yang dikendalikannya tidak boleh meramal dengan kepastian, keputusan pilihan raya.
Pada Januari, Iseas-Yusof Ishak Institute di Singapura menerbitkan keputusan kaji selidik 2017 menerusi telefon membabitkan responden Melayu di Johor, yang mendapati 85% Melayu Johor curiga kepada DAP dan melihat undi untuk Bersatu sebagai undi untuk DAP kerana mereka dalam gabungan yang sama.
“Saya berada di kawasan Felda selama dua minggu. Mereka rasa jika salah cakap tentang Umno kepada orang yang salah, akan ada akibatnya,” kata Wan Saiful pada forum anjuran BFM di Petaling Jaya, malam tadi.
Wan Saiful berkata pengundi Melayu yang ditemui di seluruh penempatan Felda menunjukkan rasa “takut” didiskriminasikan atau dihina jika mengeluarkan pandangan kritikal terhadap parti pemerintah Melayu itu.
“Sentimen itu sehinggakan mereka rasa jika kata sesuatu yang bukan sealiran dengan Umno, mereka takut tidak dijemput ke kenduri atau ke surau.
“Ketakutan itu ada di situ. Itu menyebabkan mereka ragu-ragu untuk mendedahkan perasaan sebenar. Tetapi apabila anda dapat kepercayaan mereka, nanti mereka akan beritahu semua yang menyebabkan mereka kecewa.
“Itu sebabnya, walau apa pun tinjauan pendapat itu kata, saya masih berhujah bahawa keputusan pilihan raya belum pasti. Kalau anda beri saya 40 tinjauan pendapat mengatakan Umno akan menang majoriti dua pertiga, saya akan kata sebenarnya di akar umbi, anda tidak akan tahu siapa akhirnya mereka akan pilih di peti undi,” katanya pada sesi soal jawab.
Wan Saiful ialah pengasas bersama Ideas, satu badan yang tidak berorientasikan keuntungan, khusus dalam dasar awam. Badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur itu ditubuhkan pada 2010, untuk mempromosikan kedaulatan undang-undang, kerajaan terhad, pasaran ekonomi bebas dan hak individu.
Beliau dijangka bertanding di kerusi Parlimen pada PRU14 yang akan diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.
Wan Saiful berdaftar sebagai ahli PAS seumur hidup pada 1997 tetapi meletak jawatan selepas mengkritik parti itu kerana menggunakan Islam konservatif, beranding prinsip progresif yang diguna pakai oleh mursyidul am Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Saya datang dari latar belakang PAS dan saya tidak kata perkara negatif selain bahawa pemimpin membawa mereka ke hala tuju yang salah. PAS sentiasa ada tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Namun, tentang PAS sebagai parti politik, saya fikir ia akan hancur pada PRU14. Jika mereka dapat sokongan 40% umat Islam pun, mereka akan musnah. Jumlah 40% itu, diagihkan antara kawasan, bermakna mereka akan kalah.”
Wan Saiful tidak berselindung tentang perlunya Bersatu “mengetuai” PH. Komponen itu pada masa ini hanya ada satu kawasan Parlimen, iaitu kerusi bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti.
Dr Mahathir Mohamad ialah pengerusi bagi parti komponen itu dan gabungan pembangkang.
Beliau berkata bagi membawa perubahan dalam kerajaan, tidak dapat dinafikan hakikat bahawa PH, terutama Bersatu perlu memimpin.
“Ini realiti. Saya tidak tahu situasi terbaik untuk ini, sama ada PKR atau Amanah atau DAP yang mengetuai, ia tidak boleh jadi.
“Bagi mewujudkan perubahan politik sebenar dalam negara dan menjadikan perubahan itu boleh berlaku, Bersatu perlu mengetuai. Dan Bersatu perlu menjadikan kepimpinan itu sesuatu yang berjaya,” katanya.
Menjawab soalan hadirin tentang sama ada kerajaan pimpinan pembangkang akan mengubah keistimewaan Bumiputera, Wan Saiful berkata “agenda Melayu” akan sentiasa menjadi sebahagian daripada politik rakyat Malaysia.
“Ketika saya seorang aktivis, saya selalu berfikir bagaimana saya mahu mengubah agenda Melayu. Tetapi sekarang bila saya sertai politik, ia bermakna sedikit atau banyak saya perlu terima hakikat bahawa perubahan yang kita katakan ini tidak akan berlaku pada zaman saya.
“Ia perlembagaan yang dipersetujui atas peruntukan. Ia ada di situ. Beritahu saya parti mana yang akan datang ke depan dan kata ubah itu. Ia tidak akan berlaku. Bukan pada zaman saya. Saya katakan ini kepada anda, jika saya ada kemampuan, saya akan utamakan banyak lagi perkara lain.
Katanya, keutamaan itu ialah mengasingkan peranan peguam negara dan timbalan pendakwa raya, menubuhkan kehakiman dan media bebas, serta memperbaiki kualiti kehidupan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Saya mahu pastikan bantuan kebajikan diagih dengan sempurna, dan berhenti bercakap dengan politik agama yang memecahkan. Terlalu banyak yang perlu dilakukan.” – TMI