Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) banyak penganalisis politik mula menukar ramalan daripada BN mengekalkan kemenangan kepada kemungkinan Pakatan Harapan akan menang tipis sekitar 115 – 120 kerusi parlimen.
Mengulas ramalan tersebut, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran optimis kemampuan PH untuk muncul sebagai pemenang PRU14 dalam apa jua situasi.
“Dulu dalam PRU13, Pakatan menang 89 kerusi. Kalau kita dapat menang semua 7 kerusi MCA dan semua 4 kerusi MIC yang dimiliki mereka dalam PRU13, kita sudah memperolehi 100 kerusi di Semenanjung.
“Dan untuk menambah 15 kerusi lagi dari Sabah dan Sarawak bukanlah mustahil. Yang penting kita mesti menambah lebih kerusi Parlimen dari Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka supaya kedudukan lebih selesa,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau berpendapat kerajaan BN berhadapan dengan kekalahan kerana 2 faktor, iaitu kos sara hidup serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Secara keseluruhan pemimpin BN masih belum bersedia untuk menghadapi PRU14 walhal PH sudah bersedia.
“Ada banyak ramalan mengatakan Pakatan boleh membentuk kerajaan di Johor selain menambah kerusi Parlimen di negeri itu.
“Bagi tarikh pilihan raya pula saya jangka kerajaan BN akan tunggu kutipan hasil dalam bulan April sebelum PRU14 diadakan dan ini akan memberi lebih masa kepada kita untuk menyampaikan maklumat dan mesej ke seluruh negara.
“Kerajaan BN kini menghadapi kekangan kewangan sebab kurang pelabur asing dan ramai di antara pelabur ingin tengok siapa yang akan menang dulu sebelum melabur di sini.
“Lebih buruk skandal kapal milik Jho Low yang ditahan di perairan Indonesia dan isu pemindahan wang di Australia oleh seorang anggota polis telah memberi gambaran di pentas antarabangsa bahawa negara kita dibelenggu terlalu banyak masalah,” sambung Manogaran
Hujah itu disokong seorang penganalisis hartanah, Albert Kwok, yang berpendapat ramai pelabur asing sudah hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
“Tingginya mata di bursa saham tidak memberi gambaran yang 100% tepat mengenai situasi ekonomi di Malaysia.
“Sekarang banyak kedai atau perniagaan kecil sudah gulung tikar dan kalau BN menang lagi, ekonomi negara akan jatuh merudum dengan cepat.
“Masa depan negara dan rakyat malap kalau BN terus menerajui Putrajaya tetapi ramai orang optimis PRU14 akan meletakkan Pakatan Harapan sebagai kerajaan pusat yang baru pada bulan Mei ini,” ujar Albert.