Semenjak manifesto Pakatan Harapan (PH) diumumkan, yang antara kriteria pentingnya memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pemimpin BN menggelabah memberitahu rakyat bahawa cukai GST baik untuk negara.
Bagi Chang Lih Kang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Perak, ketakutan BN itu membuktikan tawaran PH berkesan kepada rakyat. Katanya, BN yakin majoriti penyokongnya dalam pilihan raya umum (PRU) lalu akan berubah hati dan menilai semula dasar pemerintah yang memeras rakyat.
“Perkara ini menunjukkan pemimpin-pemimpin BN mula takut akan kalah disebabkan dasar pemansuhan GST oleh Pakatan.
“Sebenarnya GST lebih baik dilaksanakan setelah negara kita mencapai tahap berpendapatan tinggi tetapi kita masih belum lagi sampai ke tahap itu.
“Sekarang apabila negara terjejas dengan isu 1MDB dan kekurangan pelabur asing, adalah lebih baik untuk memansuhkan GST bagi meringankan beban rakyat,” kata Chang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Malim melawan Ong Ka Chuan dari MCA dalam PRU 14.
Tegas Chang, rakyat hari ini mula percaya GST mungkin naik jika BN menang lagi PRU 14. Katanya, contoh terbaik adalah Singapura yang mana ketika GST dilaksanakan pada 1 April 1994 kadarnya sebanyak 3%. Kemudian kadar itu meningkat 7% dan ia akan dinaikkan kepada 9% di antara tahun 2021 ke 2025.
“Saya harap rakyat akan ingat pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun tiada GST beliau telah berjaya membina 2 bandar iaitu Cyberjaya dan Putrajaya selain daripada Menara Kembar KLCC yang tersergam megah sebagai ikon negara dan juga Litar Antarabangsa Sepang serta KLIA.
“Banyak juga yang boleh dibuat tanpa GST,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Chang lagi, tidak wajar GST diperkenalkan sedangkan cukai lain tidak dikurangkan sebagaimana amalan di negara-negara maju. Cukai berganda, katanya, memusnahkan kehidupan selesa rakyat Malaysia.
“Malaysia sudah ada sistem pencukaian yang mana individu yang layak mesti membayar cukai sebelum 30 April setiap tahun dan syarikat pula mesti membayar cukai sebelum 30 Jun setiap tahun.
“Cukuplah dengan sistem pencukaian yang sedia ada. Tidak perlu semua orang membayar cukai sebab warga yang miskin, tua atau sedang menganggur misalnya tiada pendapatan,” jelas Chang.
Chang juga menegaskan negara Malaysia yang penuh dengan pelbagai sumber hasil terutamanya minyak mentah dan komoditi seperti kelapa sawit tidak memerlukan GST untuk meneruskan pembangunan
“Dengan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan, kita kelak tidak perlu tampung kerajaan dan rakyat tidak akan terbeban lagi,” akhiri Chang.