Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menolak Pakatan Harapan (PH) akan kucar kacir sekiranya Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengharamkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, permintaan pelbagai dokumen oleh RoS memungkinkan sesuatu yang lebih buruk akan berlaku ke atas parti itu. Justeru, kata Nizar, sekiranya parti tersebut tidak boleh berfungsi dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 maka calon mereka boleh menggunakan logo parti lain.
“Oleh itu, kebarangkalian adalah tinggi calon PPBM akan bertanding di bawah logo Amanah,” kata ADUN Changkat Jering itu yang mengesahkan perkara tersebut sedang diperbincangkan dalam kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi PH.
Mengulas persiapan pilihan raya, Nizar berkata, semua pemimpin PH sedang bertungkus-lumus menghebahkan manifesto yang baharu dilancarkan di kawasan luar bandar kerana polisi ‘Pemansuhan GST’ akan memberi manfaat besar terhadap pengundi sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya.
Selain itu, katanya, pelaburan asing juga tidak akan masuk sebagaimana sedekad lalu kerana pelbagai skandal kerajaan BN. Peluang pekerjaan juga terhad dan masyarakat luar bandar perlu disedarkan mengenai masa hadapan yang gelap itu.
“Dengan nama negara yang sudah tercemar di seluruh dunia akibat isu 1MDB yang disiarkan di banyak akhbar-akhbar antarabangsa, pelabur asing hanya akan datang kembali ke Malaysia sekiranya PH menang. Masa depan akan malap jika BN menang lagi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Berkongsi pendapat sama mengenai kelembapan ekonomi Malaysia, seorang pelabur hartanah Albert Kwok, 50, berkata, komuniti perniagaan kini mengharapkan PH menang PRU 14 agar negara tidak masuk ke zon malapetaka ekonomi.
Katanya, ekonomi yang ‘slow down’ menyebabkan banyak perniagaan tutup dan peluang ekonomi baharu tidak secerah di negara-negara ASEAN lain.
“Ramai orang termasuk pengilang mahukan PH menang kerana dengan adanya GST yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN, kos pengilangan telah berlipat-ganda dan kos tersebut akan menyebabkan barang menjadi mahal. Apabila barang mahal, angka jualan pun tentulah menurun,” kata beliau.
Katanya, jika BN menang sekali lagi maka pada jangka panjang ekonomi tidak akan berkembang dan Malaysia akan berputar kembali ke belakang.
“Walaupun demikian, orang ramai tidak menolak kemungkinan BN akan menang sekali lagi. Kalau itu yang berlaku, pasaran akan naik sekejap dan orang akan membeli banyak sebelum mengikat perut sebab jangkaan umum ialah kadar GST akan dinaikkan.
“Pasaran hartanah mungkin akan aktif buat tempoh waktu singkat tetapi untuk jangkamasa panjang situasi diramalkan akan lembab kerana rakyat tidak optimis tentang masa depan negara,” tambah Kwok.