Agihan kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor hanya akan dimuktamadkan selepas menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula pilihan raya.
“Ini kerana Selangor negeri paling teruk terlibat dengan persempadanan semula. Dan kerajaan negeri Selangor telah membawa hal ini ke mahkamah.
“Jadi, ia mengambil masa yang lebih berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung,” kata Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.
Saifuddin menambah rundingan kerusi di Pahang telah selesai dan keputusannya akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kerusi parlimen untuk parti-parti HARAPAN di peringkat Semenanjung dan Sarawak juga telah selesai,” katanya.
Pembangkang mengkritik persempadanan semula pilihan raya oleh SPR kerana mendakwa berlaku mallaportionment dan ketidakseimbangan kaum yang memihak kepada BN.
Suruhanjaya itu juga dikritik hebat apabila mengemukakan laporan kepada perdana menteri untuk dibentangkan pada sesi parlimen sekarang, walaupun lebih 200 bantahan masih menunggu pendengaran.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa langkah SPR tidak mengikut perlembagaan kerana hanya 20 peratus bantahan telah didengar.
BN bercadang membentangkan cadangan persempadanan semula itu pada masa ini, ketika kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa. – Mkini