Tular di media sosial petikan wawancara bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan reaksinya berhubung isu cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Pemimpin nombor satu Pas yang dilihat mesra Umno-BN itu gagal menjawab soalan dikemukakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.
“Saya rasa ramai pendengar sangat berhasrat mendengar pendirian pas tentang GST. Mungkin dengan penegasan Datuk Seri memberi pencerahan lebih jelas kepada rakyat,” kata Hishamuddin.
Walau bagaimanapun, beliau kemudian terdiam kira-kira lima saat sejurus Abdul Hadi menyebut tentang taawun dan menjadi penasihat kepada kerajaan.
Sebaliknya, Abdul Hadi yang berserban putih dan berjubah warna perang pula dilihat beraksi selamba selepas menjawab soalan itu.
“Masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara sama ada kerajaan atau rakyat adalah peninggalan daripada pemimpin-pemimpin yang duduk dalam Pakatan Harapan hari ini, yang memerintah negara sejak tahun 80-an.
“Merekalah yang mewujudkan masalah… Sebab itu, Pas memperkenalkan konsep taawun, tolong menolong perkara baik dan tidak menolong perkara kemungkaran.
“Pas mengemukakan penyelesaian kepada kerajaan bukan kita tamak kuasa. Kalau kita jadi kerajaan, kita praktikkan.
“Kalau kita tidak jadi kerajaan, kita jadi penasihat kepada kerajaan supaya membuat pembetulan kesilapan-kesilapan yang ada oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang ada pada hari ini,” jawab Abdul Hadi.
Terdahulu, Hishamuddin minta Abdul Hadi mengulas dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah Jelajah PH di Bachok, Kelantan pada 10 Mac lalu bahawa Pas perlu ditolak pada pilihan raya kerana menyokong GST.
Petikan jawapan selamba Abdul Hadi itu adalah sebahagian daripada rakaman hampir 25 minit wawancara yang disiar secara langsung menerusi Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 15 Mac lalu.
Jawapan Abdul Hadi itu turut mengundang reaksi pengguna media sosial yang rata-rata mentertawakan jawapan pemimpin tertinggi Pas berkenaan tetapi pada masa sama diserang pula penyokong tegar parti tersebut dengan kata-kata kesat. – MD