Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan kempen ‘Rakyat Tolak GST’ sempena tiga tahun pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan kerajaan Umno-BN itu.
Kempen itu dijangka akan diadakan seluruh negeri pada 1 April 2018 ini.
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kempen tersebut diadakan untuk rakyat menyatakan penolakan terhadap GST yang sebenarnya membebankan rakyat sejak dilaksanakan pada 1 April 2015.
“Kita akan adakan kempen untuk menyatakan rakyat tolak GST pada 1 April ini seluruh negeri,” ujarnya dalam sidang media diadakan di Bilik Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen semalam.
Turut hadir Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, barisan Timbalan Presiden PH dan pimpinan parti dalam gabungan PH.
Bagaimanapun PH tidak menjelaskan terperinci program yang akan dianjurkan itu kerana sidang media khusus mengenainya akan diadakan dalam waktu terdekat.
Kerajaan Umno-BN berpendapat kutipan GST sebanyak RM41 bilion setahun yang dikutip membolehkan kerajaan menampung banyak perbelanjaan yang diperlukan untuk kepentingan rakyat.
Bagaimanapun parti pembangkang menolak cadangan pelaksanaan GST apabila menyifatkan ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Namun dalam manifesto PH pada 9 Mac lalu antara lainnya diumumkan jika PH ambil alih kerajaan BN, akan menghapuskan GST dan mengawal harga barangan.
Terakhir pengumuman Pas menerusi Manifesto Gagasan Sejahtera pada Ahad lalu, turut menyatakan akujanji jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Umum akan melaksanakan penghapusan GST dan menggantikannya dengan sistem percukaian yang lebih adil.
Ketika ditanya mengenai manifesto Pas melalui Gagasan Sejahtera yang juga mahu menghapuskan GST, Dr Mahathir mempersoalkan hasrat Pas itu.
“Benarkah Pas menyokong hapuskan GST? Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) cakap berkenaan kesan pemerintahan yang lama tidak sebut apa-apa mengenai GST.
“Saya tidak tahu sama ada dia faham atau tidak persoalan mengenai GST ini,” ujarnya menjawab media. – MD