BN akan mengumumkan manifesto gabungan itu pada 7 April ini. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Harapan (PH) berpendapat manifesto tersebut tidak mungkin mampu menandingi janji dan tawaran yang dikemukakan oleh PH pada 9 Mac lalu.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata, BN tidak mungkin menawarkan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagaimana yang dijanjikan PH dalam manifesto mereka.
“Saya berpendapat bagaimana hebat pun manifesto BN, mereka tidak akan dapat mengalahkan manifesto PH di mana kita berjanji menghapuskan GST jika menang pilihan raya umum 14 (PRU14).
“Saya pasti penduduk di kawasan kampung sekali pun tidak mahukan GST. Oleh itu, saya yakin kita akan menang PRU14 ini jika rakyat bijak memilih,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Kata Manogaran lagi, perkara yang paling penting ialah maklumat dan tawaran manifesto PH perlu sampai ke pengetahuan penduduk di luar bandar menjelang PRU yang diramal pada April depan.
“Di kawasan bandar dan pekan, semua orang sudah tahu manifesto kita dan sokongan dari pengundi adalah amat baik.
“Namun kita perlu menyampaikan manifesto kepada kawasan-kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak. Dari kajian terkini, ramai pengundi Melayu di kawasan kampung masih akan mengundi BN kerana mereka tidak tahu manifesto PH.
“Apabila kita beritahu mengenai penghapusan GST, mereka memberi sambutan baik kepada dasar itu,” ujar Manogaran.
Beliau yakin sekiranya PH melaksankan strategi yang betul gabungan itu akan mendapat lebih banyak kerusi Parlimen. Katanya, sasaran menang 100 kerusi bukanlah mustahil walaupun jumlah tersebut belum mencukupi untuk menandingi BN dan membentuk kerajaan persekutuan.
“Oleh itu, kita perlu tingkatkan sokongan dari masyarakat Melayu kepada sekurang-kurangnya 50%. Kalau dapat 50% (undi popular) maka sokongan dari masyarakat lain akan memberi kemenangan kepada PH.
“Justeru, sekarang semua pemimpin PH terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Pahang perlu bertungkus-lumus menyampaikan maklumat mengenai manifesto PH kepada pengundi di kawasan pedalaman.
“Masa sudah suntuk dan saya jangka PM Najib mungkin akan bubarkan parlimen pada hujung bulan ini,” katanya lagi.