Hutang isi rumah (domestik) di Malaysia semakin membesar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada akhir November 2010, hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Hal tersebut menimbulkan persoalan besar dalam perancangan dasar kerajaan.
Bagi Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, hutang isi rumah yang banyak sepatutnya boleh ditangani dengan baik sekiranya kerajaan tidak mengutamakan pihak pemodal dan industri mengaut keuntungan berlebihan
“Pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana rakyat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. Jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat pula terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian
“Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama. Nisbah 74% “hutang isi rumah kepada KDNK” adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% kepada KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah pada setiap tahun,” katanya.
Menurut Azmin yang juga ahli parlimen Gombak, semua itu terjadi kerana sistem percukaian, dasar perlindungan pasaran automotif dan dasar pinjaman kenderaan yang amat membebankan dan tidak pro-rakyat.
“Umno/BN tidak menangani masalah harga kereta dan perumahan yang mahal. Ini menjadi bukti mereka tidak mempedulikan kesengsaraan rakyat.
“Walaupun secara rasmi hanya 2 juta rakyat Malaysia yang berpendapatan melebihi kadar minimum untuk dicukai, sebenarnya setiap keluarga di Malaysia dikenakan cukai yang lebih tinggi melalui pelbagai cukai yang dikenakan terhadap pembelian kereta,” selar Azmin.
Tambahnya, harga kereta menjadi mahal berlipat kali ganda disebabkan oleh 3 jenis cukai yang dikenakan BN iaitu cukai import, cukai eksais dan cukai jualan. Kereta yang paling kecil pun (di bawah 1,500 cc) akan dikenakan cukai sekurang-kurangngan 70% jika dipasang di Malaysia (60% cukai eksais dan 10% cukai jualan) dan 100% cukai jika diimport (30% cukai import, 60% cukai eksais dan 10% cukai jualan). Bermakna bagi setiap kereta paling kecil yang dijual oleh Perodua pada harga RM40,000 misalnya, sebanyak RM16,500 cukai dibayar kepada kerajaan.
Kerajaan Umno/BN juga mengenakan cukai yang terlalu tinggi bagi pembelian kereta bermula dengan cukai minima 70% sehinggalah 145% cukai (kereta di atas 2,500 cc).
“Oleh itu, anggaran kasar meletakkan sekurang-kurangnya 70% dari jumlah hutang RM118 billion pinjaman kereta yang ditanggung rakyat adalah untuk membayar cukai tinggi yang dikenakan kerajaan. Ini satu penghinaan kepada rakyat yang terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar cukai, sedangkan kerajaan mengecualikan kenderaan perdagangan dari cukai eksais – bukti bahawa Umno/BN selama-lamanya meletakkan kepentingan perniagaan sebagai asas dasarnya,” bidas Azmin.
Manakala harga rumah pula seolah-olah sengaja dibiarkan melambung tinggi tanpa kawalan terutama di kawasan bandar agar pemaju mendapat manfaat keuntungan tanpa memikirkan golongan berpendapatan rendah.
“Harga rumah juga menjadi bebaban kewangan yang tinggi kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan keluarga muda. Untuk memiliki rumah, mereka terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman dan menanggung bayaran bulan yang terlalu tinggi berbanding gaji. Bagi setiap keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, dianggarkan dua pertiga dari gaji mereka digunakan untuk membayar pinjaman rumah dan kereta; menyebabkan baki untuk perbelanjaan makanan, pakaian dan pendidikan menjadi terlalu kecil.
“Reaksi Umno-BN sudah tentu mengecewakan. Mereka lari dari berbicara soal sebenar kenapa rakyat berhutang sebegitu tinggi, sebaliknya Umno-BN menggalakkan rakyat memanjangkan tempoh hutang dan menambah hutang. Ini memudahkan rakyat berhutang, tetapi akibat jangka panjang adalah rakyat yang bergelumang dengan bebanan hutang sepanjang masa,” kata beliau lagi.
Oleh itu, menurut Azmin, sudah tiba masanya untuk rakyat menilai dasar-dasar baru yang radikal bagi mengurangkan harga kereta dan rumah mandangkan nilai peningkatan gaji bagi rakyat Malaysia hanya 2.4% setahun berbanding jiran Indonesia 10% setahun.
“PKR akan mengadakan beberapa siri rundingan dengan kumpulan pengguna dan pakar untuk mencari dasar alternatif bagi menghapuskan dasar Umno/BN yang memangsakan rakyat ini. Maklumbalas dan kehendak rakyat akan digarabkan di dalam dasar-dasar ekonomi kami yang akan diumumkan secara bersama di Konvensyen Ekonomi Pakatan dalam bulan Mac ini,” jelas Azmin.