Pilihan raya umum (PRU) ke 14 hampir pasti akan diadakan pada Mei ini apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibentangkan di Dewan Rakyat dijangka diluluskan pada hujung Mac.
Bagi Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, dengan lulusnya persempadanan baharu yang mengutamakan kerusi dominasi kaum Melayu itu, strategi Pakatan Harapan (PH) juga akan berubah kepada menumpukan segmen sokongan Melayu.
Katanya, PH kini sedang merancang strategi jangka pendek dalam kerangka PRU14 berlangsung pada bulan Mei.
“Sudah jelas dari strategi BN bahawa mereka akan memberi 99% tumpuan kepada pengundi kaum Melayu dan itulah juga strategi kita. Sokongan dari pengundi Melayu untuk PH kini hampir ke paras 50% dan kita akan berusaha sedaya-upaya untuk mencapai sasaran itu.
“Namun demikian, saya berpendapat Pas adalah suatu bahaya kerana mereka mampu memecah-belahkan undi masyarakat Melayu dan ini mungkin akan memberi kelebihan kepada Umno-BN.
“Justeru, kita mesti menasihatkan pengundi supaya meneliti dengan bijak niat para pemimpin Pas ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Tengku Zulpuri yang juga ADUN Mentakab, Pahang berkata, walaupun masa semakin suntuk menuju bulan Mei namun PH masih boleh memenangi hati pengundi Melayu sekiranya dasar-dasar gabungan itu diberi publisiti secara besar-besaran.
“Kita menghadapi pelbagai halangan. Media arus perdana hanya menyiarkan berita manifesto PH yang dikritik teruk oleh pakar-pakar ekonomi. Mereka mengatakan manifesto PH akan menyebabkan negara muflis kerana PH hendak memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
“Tetapi cara kita mentadbir langsung tidak disentuh dalam komen pakar-pakar tersebut,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang di DUN Pahang itu yakin rakyat semakin bijak menilai dan tidak akan termakan sepenuhnya propaganda BN.
“PRU14 mungkin pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah tanahair. Tetapi saya yakin semua orang di Malaysia inginkan satu kerajaan yang telus, bersih dan boleh meringankan beban rakyat.
“Oleh yang demikian, saya harap rakyat akan memberi peluang kepada kita kerana PH mampu mentadbir dengan lebih baik daripada BN. Contohnya adalah di Pulau Pinang dan Selangor.
“Akhirkata penerangan yang mudah ialah: ‘Jika rakyat tolak GST, undilah PH tetapi kalau mereka suka sangat GST maka undi BN’. Dan rakyat mesti ingat kadar GST mungkin ditingkatkan kalau BN menang lagi,” tambah Tengku Zulpuri.