Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang sedia menggempur kubu kuat Umno di negeri ini pada PRU14 nanti.
Pengerusinya, Marzuki Yahya (gambar, bertopi) berkata, perkembangan terkini menunjukkan Umno tidak mampu mempertahankan kerusi dan kubu kuat mereka.
“Saya yakin kita boleh tawan kubu kuat Umno di Pulau Pinang. Kalau nak dikatakan kubu kuat Umno ini bukan saja di Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau, tapi Permatang Pauh dan Nibong Tebal juga dahulunya kubu kuat Umno.
“Tetapi Permatang Pauh dan Nibong Tebal bukan lagi kubu kuat Umno. Saya lihat setakat ini tak ada lagi ruang untuk Umno mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi mereka di Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, istilah kubu kuat Umno terhakis dengan sendirinya akibat penolakan rakyat terhadap parti itu.
“Saya yakin kita boleh menang, tapi semua ini bergantung kepada penyatuan Pakatan Harapan itu sendiri supaya kita semua bersatu.
“Penyatuan semua parti dalam Pakatan Harapan secara tidak langsung mampu menewaskan semua kerusi yang ditandingi oleh Umno dan BN di Pulau Pinang,” katanya.