Hampir semua bantahan dibangkitkan pengundi berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor tidak diterima oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menurut laporan dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen hari ini.
Daripada 738 bantahan, yang mewakili sekurang-kurangnya 100 pengundi, 92.1% ditolak kerana gagal memenuhi keperluan bagi siasatan tempatan, dedah laporan itu.
Malah bantahan yang dibuat ke peringkat siasatan tempatan, 81.4% daripadanya ditolak oleh SPR.
Bantahan dibuat antara Januari hingga Februari tahun ini apabila SPR mengadakan pendengaran awam kedua dan terakhir mengenai cadangan persempadanan semula kawasan Parlimen dan negeri. Siasatan tempatan diadakan pada Mac.
Aduan pengundi juga kebanyakannya serupa: Sempadan yang diubah dan peralihan pengundi ke kawasan lain menganggu komposisi etnik di kawasan masing-masing.
Sesetengah pengundi juga mengadu sempadan baru yang membahagikan mereka di tengah-tengah seperti kawasan perumahan, yang sebahagiannya tidak mempunyai akses jalan langsung ke kawasan pilihan raya yang mereka ditukarkan.
Antara yang membantah ialah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, yang memberitahu SPR supaya mengelakkan mewujudkan “kawasan dengan satu bangsa” dan sempadan itu tidak berperlembagaan di bawah Seksyen 2 Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, yang memerlukan SPR untuk mengambil kira komuniti setempat dalam cadangan persempadanan semulanya.
Bantahan yang dibuat di peringkat siasatan tempatan pada 1 Mac juga ditolak. – TMI