Keputusan Perdana Menteri Najib Razak untuk tidak membentangkan di Parlimen laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah, telah menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan sebab-sebab di sebaliknya.
Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata terdapat spekulasi bahawa persempadanan semula di Sabah telah membawa kepada lebih representasi masyarakat Bajau, yang seterusnya akan menguntungkan Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Dari keturunan Bajau, pengasas dan presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendapat sokongan yang besar dari masyarakat Bajau.
Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin menegaskan bagaimana 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dicadangkan, dirangka sebelum munculnya faktor ‘WARISAN’.
WARISAN tidak wujud pada bulan Ogos 2016, apabila Dewan Negeri Sabah meluluskan usul untuk menambah bilangan kerusi negeri dari 60 hingga 73.
Parti itu ditubuhkan dua bulan kemudian pada bulan Oktober.
Chan melihat penangguhan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sabah kerana kebimbangan BN Sabah akan kehilangan kerusi-kerusi baru itu.
Menurutnya, para elit pemerintah menyangka kerusi-kerusi itu akan memberi kelebihan yang lebih tinggi kepada mereka.
Sekarang, tegasnya, dengan adanya faktor WARISAN dalam politik Sabah, kelebihan tambahan itu akan berubah sebaliknya.
“Kerusi bumiputera Islam di pantai timur Sabah mungkin bukan deposit tetap BN kali ini,” katanya.
Daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dicadangkan, enam adalah kerusi majoriti Islam. – Mkini