Persempadanan semula kawasan pilihan raya telah diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu belum tentu akan memberi kemenangan besar kepada BN sebagaimana pilihan raya umum (PRU) 1995 dan 2004.
Menurut Chang Lih Kang, ADUN Teja, Perak, persempadanan tersebut setakat ini dilihat hanya boleh membantu BN menang lebih kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor serta menyelamatkan 2 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN di Johor yang mana BN menang tipis.
“Media arus perdana telah meramalkan kemenangan yang besar untuk BN tetapi saya percaya rakyat Malaysia kali ini bukan bodoh.
“Dengan pemotongan subsidi, kenaikan harga barang dan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan saya berpendapat rakyat akan membuat penilaian dengan bijak,” kata Chang kepada Suara pakatan daily.
Beliau menolak laporan media arus perdana dan penganalisis politik pro BN yang menganggap pembangkang akan kalah teruk sebagaimana PRU-PRU sebelum ini yang diadakan selepas persempadanan semula.
“Yang penting sekarang ialah faktor pengundi kampung. Ini agak sukar diramal,” kata Chang.
Beliau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan persempadanan baharu yang ketara memecah-belahkan kawasan-kawasan mengikut etnik.
Chang memberi contoh penambahan pengundi di Parlimen Petaling Jaya Utara (nama baru Damansara) yang dimenangi oleh Tony Pua dalam PRU13 ‘diberi’ tambahan kepada 150,439 pengundi daripada jumlah sebelum itu, 84,456 pengundi dan menjadi kerusi terbesar di Semenanjung.
Begitu juga kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan yang ditukar nama Petaling Jaya akan mendapat 129,363 pengundi berbanding 78,404 pengundi sebelum ini.
Kerusi Parlimen Subang (dulu Kelana Jaya) mendapat tambahan pengundi dari 101,603 kepada 128,330.
Kerusi Parlimen Bangi (dulu Serdang) yang dimenangi DAP pula menyaksikan pertambahan pengundi dari 139,013 kepada 146,168.
Pengundi di Klang bertambah kepada 136,222 berbanding 98,000 pada PRU 13.
“Dapat dirumuskan persempadanan baru ini boleh memberi kekuatan kepada BN di kerusi yang mereka menang tipis, sementara pengundi di kawasan-kawasan yang dimenangi Pakatan pula telah ‘diubahsuai’ supaya jika Pakatan Harapan (PH) menang kerusi itu dengan jumlah majoriti besar, ia tidak menguntungkan kerana hanya 1 kerusi sahaja.
“Sementara banyak kerusi-kerusi yang ‘kecil’ dan ‘sederhana’ saiznya akan dimenangi oleh BN dan ini akan memberi jumlah kerusi yang lebih kepada gabungan itu di Parlimen atau DUN.
“Tetapi kuasa di tangan rakyat dan PH akan tetap menang walau macam mana pun persempadanan dilukis sekiranya rakyat bersama PH,” tegas Chang lagi.
Pendapat Chang dipersetujui oleh kebanyakan penganalisis pilihan raya. Iaitu sekiranya berlaku perubahan dalam kalangan pengundi Melayu dan jumlah keluar mengundi melebihi 80% sebagaimana PRU 13 lalu, maka BN tetap akan tumbang.