Beberapa bulan selepas pilihan raya umum (PRU) 2013, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu menyelar beberapa pemimpin pembangkang kerana cuba menakutkan orang ramai dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015, sementara Muhyiddin yang kini bersiap sedia berdepan PRU ke-14 sebagai pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), hari ini menyertai himpunan bantahan terhadap GST sempena tiga tahun pelaksanaan cukai itu.
Beliau hadir di kompleks beli belaj Sogo pada 4.30 petang dengan disambut kira-kira 50 peserta.
Kebanyakan mereka memakai baju merah yang merupakan warna rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sambil mengangkat plakad dan melaungkan slogan “tolak GST”.
Selepas menyampaikan ucapan ringkas, Muhyiddin masuk ke dalam Sogo yang menyebabkan pasukan keselamatannya dan polis terkejut.
Selepas lima minit kemudian, Muhyiddin bersama peserta bantahan dilihat berarak di Jalan Tunku Abdul Rahman sambil beramah mesra dengan orang ramai yang lalu lalang.
Muhyiddin didengar memaklumkan orang ramai agar menolak GST, sementara peserta lain terus melaungkan “turun Najib” dan “undi HARAPAN”.
Muhyiddin bagaimanapun dilihat tidak menyertai peserta lain melaungkan slogan.
Peserta bantahan turut mengedarkan pamflet anti-GST yang diterima baik orang ramai meski seorang wanita pertengahan umur dilihat enggan menerima pamflet itu dan berkata bantahan itu hanya membuang masa.
Seorang lelaki pertengahan umur yang bertembung dengan peserta bantahan pula berkata dia akan mengundi Muhyiddin dan menyatakan sokongannya.
Peserta menyebrang jalan di Kamdar dan patah balik untuk mengakhiri bantahan di restoran bertentangan pusat beli belah Maju Junction sekitar 5 petang. – Mkini