Pembangkang mendakwa parti-parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak dibenar memaparkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua gabungan itu mahupun sebagai calon perdana menteri mereka pada kempen pilihan raya umum ke-14 akan datang.
Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa mereka hanya boleh memaparkan gambar calon pilihan raya mereka dan presiden parti masing-masing.
“Kita juga difahamkan oleh SPR dan kita tanya kepada pegawai SPR umpamanya calon bakal perdana menteri kita Tun Dr Mahathir – adakah gambar beliau boleh dipaparkan dalam poster-poster kita di seluruh negara.
“Jawapan SPR kata tak boleh. Sebab dia kata Pakatan Harapan belum didaftarkan. Jadi pengurusi Pakatan Harapan adalah diharamkan dalam poster-poster pilihanraya.
“Hanya gambar calon saja boleh, dan gambar presiden parti yang bertanding saja boleh,” katanyanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini, di pejabat ketua pembangkang di Parlimen.
Menurut Loke, alasan yang diberikan adalah kerana HARAPAN masih belum berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah gabungan politik.
“Jadi itu kita rasakan sesuatu yang tidak patut dilarangkan oleh pihak SPR. Kita nak berkempen, kita nak memaparkan pemimpin kita, itu adalah hak parti masing-masing.
“Mengapa SPR nak mengarah? Itu bukan busienss SPR,” katanya. – Mkini