Larangan penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad pada poster kempen Pakatan Harapan menunjukkan bahawa BN takut dengan kehadiran calon Perdana Menteri itu pada PRU14.
Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya berkata, Tun Mahathir adalah seorang tokoh yang sangat berjasa kepada negara dan amat disegani rakyat.
“Saya boleh gambarkan bahawa takutnya BN tentang kehadiran Tun Mahathir pada PRU14 nanti sehinggakan gambar beliau pun tidak dibenarkan pada poster kempen Pakatan Harapan.
“Saya percaya halangan demi halangan yang dibuat mereka adalah kerana rasa takut dan nak tutup segala kemungkaran yang dilakukan oleh pimpinan BN.
“Saya nak tegaskan bahawa sebagai pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang, gambar Tun Mahathir perlu dan harus diletakkan di semua kawasan yang kita tanding,” katanya.
Menurutnya, walaupun bekas Perdana Menteri itu ada kecaman dari segi ideologi politik pada sebelum ini, namun dari segi urusan negara beliau meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya.
“Saya amat kecewa dengan keputusan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang melarang penggunaan gambar Tun Mahathir. Mereka sepatutnya jadi sebuah badan bebas, bukan alat kepada parti kerajaan.
“Nak guna gambar Tun Mahathir pun tak dibenarkan. Ini bermakna saya boleh gambarkan bahawa takutnya BN dengan kehadiran Tun Mahathir,” katanya.