DAP Pulau Pinang yakin dapat mempertahankan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi pada PRU14 nanti.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun pihaknya tidak memandang ringan terhadap usaha parti lawan yang mahu merampas semula pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
“Kita menyatakan setiap kerusi adalah amat penting dan kita harap dapat mengekalkan kemenangan di semua kerusi.
“Kita akan fokus kepada matlamat itu untuk mengekalkan semua kerusi dan tampuk pemerintahan kerajaan Pulau Pinang pada PRU14 nanti,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, walaupun BN juga menyatakan keyakinan sama untuk merampas Pulau Pinang, namun beliau tidak nampak dari mana datangnya asas keyakinan parti itu.
“Kita berhadapan dengan parti lawan yang pada mulanya cuma nak kekalkan kerusi Umno. MCA dan Gerakan pula hanya nak menang satu dua kerusi saja.
“Tetapi baru-baru ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (Timbalan Pengerusi BN) menyatakan keyakinan bahawa mereka boleh menang di semua kerusi.
“Kalau mereka menyatakan matlamat itu, biarlah mereka buktikan kononnya mereka boleh merampas Pulau Pinang,” katanya.
Jelasnya, DAP akan terus bekerja keras untuk mengekalkan kuasa pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
“Kerusi Umno mereka ada pengiraan mereka sendiri. MCA dan Gerakan tak ada kerusi, saya tak tahu daripada mana datangnya keyakinan mereka untuk menang,” katanya.