Kenyataan Presiden MCA Liow Tiong Lai beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu bahawa kaum Cina tiada suara dalam kerajaan sekiranya parti komponen BN gagal menang banyak kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 tidak akan mengubah pendirian pengundi Cina.
Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, pengundi Cina tidak peduli dengan ugutan ‘tiada suara dalam kerajaan BN’ kerana selepas PRU 14 pemimpin MCA juga tidak pasti akan menjadi kerajaan memerintah di peringkat Persekutuan.
Katanya, berdasarkan mood yang ditunjukkan rakyat seluruh negara, berkemungkinan besar BN akan tewas dan tentunya sesiapa yang mengundi BN akan menjadi pembangkang dalam kerajaan baharu selepas 9 Mei nanti.
Dasar baharu kerajaan, menurut Lee, tentunya tidak akan mengkesampingkan kaum Cina.
“Saya ingin menekankan jika Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat dari rakyat dan menjadi Kerajaan Persekutuan, semua bangsa dan masyarakat akan dibantu sewajarnya dengan adil dan saksama tanpa mengira pendirian politik mereka,” tegas beliau kepada Suara pakatan daily.
Mengulas isu sama ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim pula berkata, ugutan Liow itu tidak akan mengubah kecenderungan kaum Cina mengundi Pakatan Harapan kerana mereka telah pun dibuli dengan teruk oleh BN sepanjang sepenggal lalu dengan pelbagai hasutan dan isu perkauman.
“Pemimpin-pemimpin BN selalu menyeru pengundi Cina sokong BN.
“Dulu semasa zaman Tun Dr Mahathir sebagai PM, pengundi Cina kuat sokong BN sebab situasi dulu berlainan dengan sekarang.
“Pengundi Cina mahu sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum, agama ataupun fahaman politik dan pengundi Cina berpendapat gandingan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim adalah gandingan yang bijak, berwibawa serta mampu membawa Malaysia mara ke depan,” kata Ng.