Walaupun kerajaan BN telah mengumumkan cuti peristiwa pada hari membuang undi, Rabu 9 Mei depan, namun masih ramai rakyat yang kecewa.
Bagi M. Manogaran, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, mengundi pada pertengahan minggu akan menyukarkan 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mengundi. Apatah lagi, mereka adalah golongan muda yang mahu melakukan perubahan kerajaan dalam pilihan raya umum ke 14.
“Ini benar-benar menunjukkan pemimpin-pemimpin BN sudah tidak yakin menang. Kerajaan BN tahu rakyat sudah marah dengan mereka kerana kos sara hidup amat tinggi selepas perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.
“Namun sekiranya tekad rakyat kuat, gelombang kemarahan rakyat tetap akan menjatuhkan BN,” katanya yang akan bertanding di Cameron Highlands.
Beliau berpendapat tarikh itu sebenarnya akan memakan diri BN kerana ramai orang yang ‘malas’ mengundi, kali ini didorong oleh tarikh tersebut, bertekad untuk keluar mengundi kerana seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya telah mencabar mereka.
Manakala Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, pengumuman tersebut menyebabkan semakin banyak rakyat bersolidariti untuk menumbangkan BN. Katanya, di laman media sosial banyak pengundi menganjur ‘car pool’ (tumpang dalam kereta yang sama) untuk balik ke kampung pada hari mengundi.
“Jelas terbukti tarikh tersebut akan menyusahkan penyokong Pakatan Harapan (PH). Kalau perihal mengundi pun Kerajaan BN hendak menyusahkan rakyat, apakah mampu kita ‘tahan’ lima tahun lagi dibawah pentadbiran BN?” tanya beliau.
Timbalan Pengerusi Amanah Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin pula berkata, tarikh 9 Mei itu membuat rakyat lebih marah dan lebih bermotivasi menjatuhkan BN. Beliau merujuk ungkapan rakyat di media sosial yang mencipta singkatan Rabu sebagai, ‘Rakyat Akan Buang UMNO’.
“Ada pelan sedang dipertimbangkan untuk memberi cuti pada hari Khamis dan Jumaat (10 dan 11 Mei 2018) jika Pakatan mendapat mandat rakyat pada 9 Mei 2018. Ayuh, jom kita mencipta sejarah kali ini,” gesa Nizar.