Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menganggap peluang BN semakin sempit untuk mengekalkan Kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Johari yang mengetuai cabaran PKR di Kedah itu berkata, apa sahaja yang dilakukan BN untuk memperbaiki keadaan ketika berkempen tidak akan diterima rakyat kerana BN telah melakukan 3 kesalahan besar yang tidak perbaiki sejak setahun lalu.
Tiga kesalahan tersebut, katanya, ialah pemotongan subsidi untuk petrol, diesel dan minyak masak; Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST); pengurusan kewangan lemah yang mengakibatkan berlakunya skandal 1MDB sehingga nama Malaysia busuk di serata dunia.
“Oleh itu rakyat Malaysia sudah tidak sabar mengundi untuk menjatuhkan Kerajaan BN pada PRU 14 ini.
“Di Kedah, saya optimis kita akan menang kerana rakyat sejak setahun lalu asyik bertanya bilakah tarikh pilihan raya umum.
“Mereka memberitahu kali ini Kerajaan Persekutuan mesti ditukar supaya rakyat hidup sejahtera apabila GST dimansuhkan dan kos sara hidup turun
“Imej negara kita yang tercalar pula akan baik semula, pelabur asing datang dan nilai matawang dijangka akan kuat kembali,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, bakal calon Menteri Besar Kedah yang disebut-sebut PKR ini juga mempertikaikan penetapan tarikh mengundi pada hari Rabu, 9 Mei oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang menurutnya menyukarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura untuk pulang dan anak rantau mengundi di Kelantan dan Terengganu untuk segera kembali ke Kuala Lumpur tanpa rehat secukupnya.
“Apa pun yang penting sekarang ialah pengundi Melayu. Jika masyarakat Melayu sudah membuat keputusan muktamad untuk mengundi Pakatan Harapan (PH), Pakatan lah yang akan menjadi Kerajaan Persekutuan yang baru pada 10 Mei 2018 nanti.
“Saya menggesa rakyat Malaysia supaya bersama-sama dengan Pakatan mencipta sejarah dalam PRU 14 ini. Biar BN jadi pembangkang dan kita menilai prestasi mereka,” kata Johari yang mengingatkan, sekiranya subsidi dikembalikan dan GST dihapuskan oleh kerajaan PH maka beban kewangan rakyat akan diringkankan dan masa depan rakyat serta negara akan kembali cerah.