Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang digazetkan secara rasmi pada Rabu, tidak akan mencapai matlamat menangani berita palsu sekiranya ‘takrifan berita palsu’ itu sendiri tidak tepat dari sudut perundangan.
Pandangan ini dilontarkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof apabila ditanya mengenai pandangan peribadinya dengan polimik antara pembangkang dan kerajaan mengenai pelaksanaan akta tersebut.
“Selagi kita tidak dapat beri takrifan yang tepat apa itu ‘berita palsu’ peruntukan ini tidak akan dapat dijalankan secara lancar dan capai matlamat.
“Seharusnya pihak kerajaan meneliti perkara ini.
“Sepatutnya kita tarik balik (akta) untuk kaji lebih mendalam lagi,” ujarnya ketika menjawab pertanya wartawan pada sidang media yang diadakan selepas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Tatatertib Parti AMANAH Negara yang diadakan di ibu pejabat AMANAH hari ini.
Turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Datuk Dr Nik Mohd Zain Nik Yusof.
Mohamad Ariff mendakwa, keputusan kerajaan yang tergesa-gesa mengubal rang undang-undang akta itu hanya semata-mata untuk mengawal media sosial, sedangkan peruntkan undang-undang sedia ada di negara ini memadai untuk mengisi kelompongan tersebut.
“Kalau matlamat kita untuk mengawal media sosial ada cara lain untuk kawal dengan undang-undang sedia ada.
“Tetapi peruntukan dalam akta ini sangat meluas ia termasuk bukan sahaja dikenakan ke atas media sosial tetapi turut dikenakan ke atas golongan kartunis dan pelbagai lagi ekspresi masyarakat yang boleh dianggap sebagai berita palsu mengikut akta ini,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan pada sekali pandangan ia dilihat positif dan sangat baik untuk memberi peluang kepada pihak ketiga membuat permohonan ke mahkamah seksyen untuk mengeluarkan pernyataan dan menghalang sebarang bahan yang dianggap sebagai berita palsu.
“Sama ada ia akan digunakan terhadap pembangkang atau di pihak kerajaan peruntukan undang-undang mengenai ‘berita palsu’ itu takrifannya mestilah tepat maksudnya.
“Kalau sesuatu perkara itu mengandungi teori jenayah kesalahan itu mesti jelas. Jika kesalahan itu tidak jelas akan timbulkan persoalan besar sama ada kesalahan itu ‘constitutional’ atau tidak tanpa menentukan apa sebenarnya kesalahan jenayah itu,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dipetik berkata, akta itu diluluskan di Dewan Rakyat awal bulan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan telahpun digazetkan secara rasmi, katanya, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Wartaan Nasional pada Rabu.
Pada 3 April lalu Pakatan Harapan mengumumkan akan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sekiranya mereka berjaya menumbangkan BN pada PRU14 kali ini.
Selain akan turut memansuhkan memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016. – MD