Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran berkata BN mungkin tewas dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 berdasarkan kekurangan iltizam parti itu menangani keresahan dan kesusahan hidup rakyat.
Katanya, jika BN mahu menjamin kemenangan sewajarnya harga barang di pasaran telah turun dan rakyat boleh melupakan sementara tindakan kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 2015 lalu. Namun situasi itu tidak berlaku dan rakyat tidak mungkin yakin dengan janji BN akan memberi kesejahteraan hidup kepada mereka sepanjang 5 tahun akan datang.
Terutama golongan miskin dan warga marhaen, katanya, tidak akan mudah percaya dengan janji BN kali ini.
“Saya tengok warga miskin gunakan minyak masak yang dikitar-semula. Adakah ini perbuatan yang sihat? Ia berlaku kerana harga minyak masak sudah amat mahal, contohnya sebotol minyak masak 2 kg yang dulunya berharga RM7.20 sekarang sudah lebih RM10.50.
“Adakah Kerajaan BN prihatin? Ramai orang makan sayur sahaja setiap hari kerana harga daging dan terutamanya ikan sangat mahal. Adakah Kerajaan BN tahu hal ini sedang berlaku?” tanya Manogaran yang akan bertanding di parlimen Cameron Highlands.
Beliau berpendapat walaupun pemberian BR1M telah ditingkatkan, dalam jangkamasa panjang, harga minyak dan minyak masak yang tinggi serta harga barangan yang terus meningkat akan menghapuskan sebarang manfaat yang diperolehi daripada BR1M.
“Dasar Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST dan pengembalian subsidi akan kita ditekankan dan diberi fokus utama di kawasan kampung.
“Sejak harga minyak melebihi paras RM2 seliter, saya perhatikan ramai orang berpusu-pusu pergi ke stesen pam minyak sebelum jam 8 pagi kerana kalau kita beli minyak di antara jam 8 malam hingga 7 pagi, kita boleh dapat ‘lebih’ kerana cuaca tidak panas.
“Selain dari itu, di mana-mana pun, kalau ada diskaun atau promosi, orang ramai akan berebut-rebut membeli. Ini menunjukkan bahawa rakyat bukannya kaya sangat dan memerlukan penjimatan yang diperolehi dari diskaun tersebut.
“Sekarang wang RM10 tidak boleh membeli apa-apa. Harga makanan di warung dan kedai kopi pun sudah meningkat beberapa kali ganda.
“Janganlah sebut harga makanan di restoran. Kalau BN menang PRU14, warga marhaen akan hidup lebih susah lagi. Di KL pun, kalau anda pergi ke kawasan dekat Kota Raya (di tengah pusat bandar), anda boleh lihat ramai peminta sedekah dan warga gelandangan. Adakah ini tanda bahawa negara kita sudah maju?” soal Manogaran lagi.
Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat Melayu berubah mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadikan kaum itu sebagai faktor tunggal menentukan pemenang pilihan raya umum.
“Undi masyarakat Cina kalau semuanya menyebelahi PH pun, kita tidak akan menang kalau masyarakat Melayu tidak menyokong kita. Saya bukan hendak meremehkan undi dari masyarakat Cina tetapi itulah hakikatnya.
“Dalam PRU13, PH mendapat 40% sokongan Melayu sementara yang 60% Melayu menyokong BN. Jika sebaliknya yang berlaku iaitu 60% menyokong PH, maka Pakatan lah yang akan menang.
“Setakat ini, kita perlu bekerja keras meyakinkan Melayu bahawa PH mampu mentadbir dengan baik. Dengan PH sebagai Kerajaan Persekutuan, beban kewangan rakyat Malaysia akan diringankan,” katanya kepada Suara pakatan daily.