Replika kapal persiaran mewah milik hartawan kontroversi, Jho Low yang dibawa berarak semasa himpunan #TangkapPencuri menarik perhatian warga kota sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman petang tadi.
Sebahagian pengguna jalan raya membunyikan hon kenderaan masing-masing tanda sokongan manakala sesetengah pejalan kaki tidak berganjak menyaksikan demonstrasi diterajui anak muda itu.
Sempat berarak di atas lori kira-kira 100 meter bersama sepanduk berwajah Jho Low, polis bagaimanapun menghalang kenderaan itu daripada terus dipandu menuju Dataran Merdeka.
Sejurus tiba betul-betul di hadapan gedung beli-belah Sogo, enjin lori itu dimatikan ketika pada masa sama pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) PDRM kelihatan bergegas berbaris membentuk halangan.
Berlaku beberapa kali kekecohan apabila ada anggota polis menyerbu kira-kira 1000 aktivis dan anak-anak muda yang meneruskan ucapan di atas lori itu.
Walhal, pihak polis sebelum itu memberi tempoh 30 minit untuk himpunan anjuran Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) itu berlangsung.
Aksi massa diselangi laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Tangkap Najib’ dan ‘Tangkap Jho Low’ itu tetap diteruskan dengan lori tersebut berpatah balik ke dataran di depan Sogo.
Turut kelihatan beberapa aktivis mahasiswa dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ucapan aktivis dan anak muda kemudiannya diteruskan disusuli dengan kata-kata semangat dan penghargaan daripada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi itu antara lain mengucapkan tahniah di atas kehadiran ramai anak muda pada himpunan protes tersebut.
Beliau mengulangi tuntutan himpunan supaya Pengerusi BN, Najib Razak dan Jho Low ditangkap kerana telah merompak harta milik negara melalui dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Namun, belum jam 3.30 petang, pihak polis dari IPD Dang Wangi diketuai Shaharuddin Abdullah memberi amaran bersurai.
Beberapa anggota polis yang cuba meluru ke arah lori yang menjadi pentas ceramah kemudiannya diajak berbincang oleh Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dan beberapa pengamal undang-undang lain.
Pihak penganjur merayu untuk kandungan memorandum mereka dibacakan terlebih dahulu. Wakil AMCJL, Shazni Munir Mohd Ithnin kemudiannya membacakan tuntutan rakyat supaya perompak negara ditangkap.
Polis akhirnya menerima memorandum tuntutan itu sebelum himpunan diarah bersurai sepenuhnya kira-kira pukul 3.45 petang.
Himpunan menjelang lagi 25 hari untuk rakyat membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu menuntut supaya Jho Low yang terpalit dengan skandal kleptokrasi 1MDB diheret ke mahkamah.
Individu yang masih bersembunyi itu dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) selain seorang lagi dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1) kerana terbabit menyeleweng berbilion dolar dana 1MDB.
Pada 27 Februari lalu, sebuah kapal persiaran mewah Equanimity yang diburu DoJ telah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali.
Rampasan kapal mewah itu dilihat menjadi bukti penting wujudnya jenayah pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Jho Low.
Pemilik nama Low Taek Jho dari Pulau Pinang itu dikatakan rakan kepada Riza Aziz iaitu anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – MD