Bersatu Pulau Pinang mengumumkan senarai calon parti itu yang akan bertanding pada PRU14, semalam.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahaya.
Beliau mengumumkan, Ketua Penerangan negeri, Yaakob Osman akan bertanding di Dun Penaga. Manakala Bendahari Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq bertanding di Dun Bertam.
Timbalan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar pula diumumkan bertanding di Dun Permatang Berangan.
Parti itu turut meletakkan Ketua Bahagian Balik Pulau, Zolkifly Md Lazim untuk bertanding di Dun Teluk Bahang.
Marzuki berkata, pengumuman itu amat bersejarah kerana ia kali pertama Bersatu bertanding pada PRU14.
“Sebelum pengumuman ini dibuat, kita telah mengambil kira pelbagai faktor antaranya calon baru, lama dan berpengalaman untuk mentadbir kerajaan negeri dan persekutuan.
“Keputusan ini bukan untuk memuji sesiapa. Saya percaya mungkin ada segelintir yang tidak akan puas hati dengan pengumuman ini.
“Tetapi saya ingin nasihatkan kepada semua ahli, penyokong dan jentera parti supaya kembali kepada asas perjuangan dan penubuhan parti, bukan untuk mengejar jadi calon sahaja,” katanya.
Marzuki berkata, harus diingat bahawa penubuhan asal Bersatu adalah untuk melawan Umno dan BN bagi menyelamatkan Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar pula mengumumkan calon parti itu yang akan bertanding di kerusi parlimen.
Mohd Shariff berkata, Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahaya adalah calon parti itu di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.