Pengakuan pihak Kementerian Dalam Negeri selepas Program Pemutihan bahawa terdapatnya sejumlah 1.3 juta pekerja asing di negara ini yang tidak berdaftar sesuatu yang amat memalukan. Hal itu ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkifly Ahmad.
Dr Dzul yang juga ahli parlimen Kuala Selangor menuntut Menteri Dalam Negeri Hishamudin Hussein agar bertanggungjawab penuh terhadap kepincangan sistem imigresen dan penguatkuasaan di Malaysia sehingga mampu dibolosi 1.3 juta warga asing tanpa izin. Terutama mengenai ketelusan pegawai yang melaksanakan operasi penguatkuasaan, adakah berlakunya rasuah yang berleluasa.
“Jika KPI mahu diberikan kepada Hishamudin, dialah menteri yang paling teruk KPInya. Dia sibuk memantau Bersih 2.0 lalu terlupa 1.3 juta pekerja asing tanpa permit bertebaran di Malaysia
“Pemalsuan dokumen, permit, semuanya sarat dengan ketirisan dan urustadbir tempang. Hal ini yang kita lihat di semua agensi KDN. Saya menuntut Hishamudin bertangungjawab penuh dan mengakui kelemahannya. Terutamanya itu warga asing tanpa permit mengambil peluang kerja rakyat Malaysia dan warga asing ini terlibat dengan pelbagai jenayah,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS kelmarin.
Sebelum ini, operasi pemutihan telah merekodkan jumlah luar biasa pendatang asing dengan izin atau tanpa izin yang bekerja dipelbagai sekror di negara ini. Rakyat Malaysia bimbang kebanjiran pendatang asing sejumlah 5 peratus dari jumlah penduduk negara, yang gagal dikawal oleh kerajaan, akan merampas peluang pekerjaan dari mereka. Begitu juga gaji tidak akan naik kerana pekerja asing tiada skil ini mendorong majikan di Malaysia meneruskan industri berskil rendah kerana mudah mendapat tenaga buruh upah murah
Pendatang asing juga menambah buruk indeks jenayah, terutama yang tidak bekerja dan terpaksa mencuri untuk meneruskan kehidupan.