Pengakuan Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad dalam temubual yang di dalam buku Operation Malaysia, tulisan Tom Plate bahawa beliau tidak bersetuju menahan ISA tokoh-tokoh politik dalam Operasi Lalang 1987 dikritik keras oleh ahli parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang
Lim, tokoh veteran DAP yang ditahan dalam operasi itu mempertikaikan kenyataan Dr Mahathir berbunyi: “Saya sebenarnya berjumpa dengan semua ahli pembangkang (terlebih dahulu) dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap. Dan awak tahu apa yang polis lakukan? Polis menangkap mereka. Kredibiliti saya hilang”
Lim yang juga menegaskan beliau tidak pernah dikunjungi oleh Dr Mahathir apatah lagi meyakinkan pemimpin pembangkang mereka tidak akan ditahan di bawah ISA
“Saya tidak pernah bertemu dengannya dan dia juga tidak pernah memberi jaminan saya tidak akan ditangkap sebelum bermulanya Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987. Bagaimanapun sehari lebih awal saya ada bercakap di Parlimen dalam perbahasan bajet 1988 memberi amaran berlakunya ketegangan sosial dan meminta semua parti politik ‘bersetuju untuk setahun menghindari dari membangkitkan isu perkauman, bahasa, kebudayaan atau isu agama agar semua rakyat dapat menumpukan kepada kepentingan negara dan mencapai pemulihan pertumbuhan ekonomi (ketika itu ekonomi meleset),” jelasnya.
Lim berkata, adalah tidak adil Dr Mahathir menyalahkan polis dalam penahanan itu sedangkan waktu itu beliau adalah Menteri Dalam Negeri yang mengawal polis.
“Ia tidak adil bagi Mahathir melepaskan beban kepada polis (dalam memutuskan) melaksanakan Operasi Lalang.Sedangkan dia menggunakan kuasanya ketika itu sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 8 untuk menahan selama 2 tahun ke atas 49 tahanan termasuk 7 ahli parlimen DAP,” tegas Lim.
Menurut Lim lagi, Dr Mahathir juga membuat dakwaan palsu bahawa ahli parlimen DAP tidak ditahan kerana perjuangan politik mereka atau kerana mereka ahli parlimen tetapi kerana mereka cuba untuk mengkucar-kacirkan ketenteraman antara kaum. Sedangkan kata Lim, sewaktu dalam tahanan beliau tidak pernah sama sekali disoal oleh polis mengenai alasan penahanan yang sedemkian rupa. Serta tidak pernah diminta jaminan daripadanya agar tidak lagi mengulangi mengkecamukkan hubungan antara kaum sebelum beliau dibebaskan pada April 1989.
Perkara itu turut berlaku ke atas kesemua 6 ahli parlimen DAP yang ditahan di dalam Operasi Lalang seperti Karpal Singh, Lim Guan Eng, Dr Tan Seng Giaw, P Patto, V David dan Lau Dak Kee yang semuanya dibebaskan tanpa dikaitkan dengan ketegangan kaum.
“Saya beranggapan memang berlakunya ketegangan kaum pada Oktober 1987, tetapi ketegangan kaum ini bukan dihasilkan oleh ahli palimen DAP atau lain-lain yang ditahan di bawah Operasi Lalang itu tetapi ia (alasan penahanan) direka secara tidak bertanggungjawab oleh pemimpin Umno yang berebut kuasa. Ketika itu berlaku ketidak tentuan di semua tahap kepimpinan Umno kerana parti itu terbelah dua, satu dikepalai Dr Mahathir dan satu pasukan lagi dipimpin oleh Tengku Razaleigh-Musa Hitam.
“Sebagaimana yang diucapkan oleh bekas perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman selepas Operasi Lalang dalam akhbar London Times, 9 November 1987: ‘Ia bukannya persoalan Cina menentang kerajaan, tetapi di dalam parti beliau (Dr Mahathir), Umno, (iaitu) siapa yang menentangnya,” ujar Lim.
Kertas putih yang dikeluarkan kerajaan selepas operasi itu di bawah tajuk ‘ Menuju Pengekalan Keselamatan Negara’ pada Mac 1988 menjustifikasikan Operasi Lalang akibat perarakan pemuda Umno di Jalan Stadium Raja Muda pada 17 Oktober 1987 yang membawa kain rentang bertulis: ‘13 Mei bermula’ dan ‘basahkan keris dengan darah Cina’. Ketua Pemuda Umno ketika itu ialah Perdana Menteri sekarang Najib Razak
“Dr Matahir tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab kepada pihak polis dan tidak berterus-terang atau meminta maaf kepada rakyat kerana merancang Operasi Lalang, mencabul hak asasi manusia, menekan dan menghilangkan kebebasan media, institusi kehakiman, polis, SPR dan agensi pencegahan rasuah sepanjang pemerintahannya
“Atau pun sebenarnya Dr Mahathir menyalahkan kehakiman, polis, SPR, biro anti rasuah, media dan institusi Negara yang lain kerana kegagalan mereka untuk menegakkan kebenaran serta menentang beliau demi mengekalkan dan melindungi kebebasan juga profesionalisme mereka sepanjang pemerintahan Mahathir?,” akhiri Lim dalam nada sinis.