Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal berdepan bekas pegawai sendiri dalam mempertahankan parlimen Jeli pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ini susulan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan bahawa bekas pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Azran Deraman adalah calon Pakatan Harapan di parlimen berkenaan.
“Azran akan mencabar bekas bos beliau iaitu Datuk Seri Mustapha Mohamed di parlimen Jeli.
“Beliau merupakan bekas pengarah MITI Kelantan, kemudia bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kini sudah meletak jawatan, ” kata Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor pada sidang media pengumuman calon BERSATU Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Sebagai rekod pada pilihan raya umum lalu, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa memenangi parlimen Jeli dengan majoriti 5,269 undi menewaskan calon PAS, Mohd Apandi Mohamad.
Terdahulu, BERSATU Kelantan mengumumkan tujuh calon mereka bakal menjadi taruhan untuk bertanding di kerusi parlimen yang diperuntukan oleh HARAPAN.
Kamaruddin berkata, beliau sendiri bakal bertanding di parlimen Pasir Puteh.
Lima calon lagi katanya terdiri daripada Datuk Nordin Salleh mewakili parlimen Tumpat; Mohd Zulkifli Zakaria (Bachok); Dr Mohd Radzi Mohd Jidin (Ketereh); Datuk Sazmi Miah (Machang) dan Mohd Nor Hussin bagi parlimen Gua Musang.
“Senarai calon daripada BERSATU bagi kawasan parlimen ini sudah mendapat persetujuan dan kelulusan daripada pengerusi dan presiden parti, ” katanya.
Tambah ketua penerangan BERSATU itu, daripada senarai tersebut empat calon yang dikemukakan itu mempunyai pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini.
“Mereka terdiri daripada Datuk Nordin, Datuk Sazmi, Mohd Zulkifli dan saya sendiri.
“Manakala tiga calon muka kita terdiri daripada iaitu Dr Radzi, Mohd Nor dan Azran yang mahu melihat perubahan bersama kita, ” kata Kamaruddin.
Mengulas lanjut kata beliau, setiap calon yang diketengahkan mempunyai kekuatan tersendiri melalui pelbagai latar belakang dan pengalaman masing-masing.
“Kita mempunyai Dr Radzi yang juga bekas penyarah dalam bidang forensik akauntan di Australia, manakala Azran merupakan bekas pengarah di Miti (kementerian perdagangan antarabangsa dan industri).
“Selain itu, calon-calon kita juga merupakan anak jadi tempatan di kawasan masing-masing yang dipilih melalui suara akar umbi,” katanya. – Mkini