Kenyataan Presiden MIC, S. Subramaniam baru-baru ini kononnya 65% kaum India akan menyokong BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 diragui banyak pihak.
Walaupun BN telah pulih daripada boikot kaum India pada PRU 2008, yang menyaksikan hampir 70% undi kaum itu berpihak kepada Pakatan Rakyat, (pada PRU 2013 BN memperolehi 55% undi India) namun terdapat faktor kerjasama kumpulan pejuang hak asasi kaum India, Hindraf dalam PRU ke 13 itu.
Bagaimanapun pada PRU 14, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy telah mengumumkan kerjasama rasmi dengan Pakatan Harapan (PH). Beliau menjamin peralihan 30% sokongan kaum India kepada PH.
Mengulas hal tersebut, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yang akan bertanding di parlimen Cameron Highlands berpendapat angka yang diungkapkan presiden MIC tidak realistik. Katanya, pengundi India akan lebih banyak berpihak kepada PH kali ini akibat tekanan hidup yang lebih parah sejak 5 tahun lalu.
“Kita akan tengok setelah undi dikira. Apapun, saya tidak rasa gentar dengan angka tersebut tetapi akan terus membuat kerja dan turun padang untuk meyakinkan rakyat untuk memilih calon Pakatan.
“Saya juga bersedia menghadapi sesiapa saja calon BN yang akan bertanding di Cameron Highlands.
“Sekarang harga banyak barang keperluan mahal. Ramai orang mengeluh akibat tekanan dari kos sara hidup yang tinggi.
“Pandangan saya bukan sahaja penduduk Cameron Highlands bahkan rakyat Malaysia akan mengundi dengan bijak (sokong PH) kali ini,” katanya kepada Suara pakatan daily.