Dakwaan jurucakap publisiti MCA, Ti Lian Ker kononnya kemaraan DAP bertujuan menghapuskan MCA dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 hanya menunjukkan kelemahan komponen BN itu.
Menurut Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim, kenyataan Lian Ker itu bukan menyerlahkan sikap DAP tetapi ketidakberdayaan MCA kerana membenarkan diri mereka dibuli oleh Umno.
Kata Suee Lim lagi, Umno yang bertanggungjawab memusnahkan MCA dalam persempadanan semula pilihan raya baru-baru ini dengan memindahkan masyarakat Cina ke kubu DAP dan mengelompokkan orang Melayu ke dalam satu kawasan yang kononnya akan memberi kemenangan kepada calon BN.
“Tuduhan ini menunjukkan MCA mungkin akan menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya umum nanti.
“DAP tidak berhasrat untuk menghapuskan MCA tetapi mereka telah menghapuskan diri mereka sendiri apabila tidak membuat pendirian yang berprinsip telus, jujur dan ikhlas.
“Contohnya, apabila Rang Undang-undang Persempadanan Semula dibentangkan di Parlimen pada 28 Mac lalu, mereka terus berdiam diri dan menyokong sahaja.
“MCA juga selalu tunduk kepada UMNO dan tiada suara kecuali apabila hendak mengkritik DAP. Masyarakat Cina menolak MCA sebab masyarakat Cina sudah muak dengan adegan-adegan pemimpin MCA yang hanya pentingkan diri sendiri,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Suee Lim juga berpendapat MCA dan BN tidak lagi relevan bagi masyarakat Cina.
Kaum itu akan memberi sokongan padat kepada Pakatan Harapan (PH) kerana PH dengan gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim terbukti mampu membawa negara ke persada dunia dan akan melalukannya semula selepas PRU 9 Mei depan.