Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran BN mungkin membeli calon mereka pada hari penamaan calon nanti sebagai antara kaedah menggagalkan gabungan pembangkang itu.
“Pada hari menamakan calon, ada besar kemungkinan Najib akan membeli calon-calon kita ataupun dia akan menyekat calon daripada sampai ke tempat penamaan calon dan lain-lain perkara termasuk tidak mengiktiraf Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) kita, pencadang serta penyokong calon kita.
“Banyak lagi yang boleh dilakukan oleh Najib, yang tidak mengikut undang-undang keranan dia tidak hormati undang-undang sama sekali,” kata Mahathir.
Beliau merupakan penceramah terakhir pada majlis ceramah HARAPAN di stadium Kuala Selangor malam tadi.
Mahathir menasihatkan Pakatan Harapan supaya tetap waspada kerana Datuk Seri Najib Razak ialah perdana menteri (kerajaan sementara) dan beliau masih mempunyai keupayaan menghalang gabungan pembangkang.
“Sebab itu amat penting sekali, susunan parti mestilah cekap dan dapat mengurus segala masalah dengan baik,” kata beliau.
Kemudian, ucapan beliau sedikit terganggu dengan ketibaan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, yang baru sampai ke Selangor dengan pesawat penerbangan.
Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, mengambil tempat duduk di kalangan orang ramai, manakala Mahathir gembira mengenai perkembangan hubungan mereka.
“Itu Abang Mat kita. Abang Mat kita tak pernah tak hadir mana-mana perjumpaan besar (HARAPAN).
“Ini musuh ketat saya dulu. Saya sumbat dia masuk dalam jail. Tapi sekarang ini dia duduk tepi saya.
“Dia kata itu perkara lama, tak apa lah. Jadi ini hatinya besar. Dan dia percaya kepada perjuangan kita,” kata Mahathir.
Mat Sabu pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa petadbiran Mahathir. – Mkini